Arteta puas dapat ikat Jesus, Viera

Jesus - Foto 90 minutes
Jesus - Foto 90 minutes
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengakui berpuas hati apabila berjaya mengikat penyerang Brazil, Gabriel Jesus dan pemain Portugal, Fabio Viera untuk beraksi bersama skuad kendaliannya, musim ini.

Menurut Arteta, kredibiliti dimiliki kedua-dua pemain berkenaan diharapkan dapat membantu memperkuatkan pasukan terutamanya memantapkan lagi jentera serangan skuad The Gunners.

“Kami berpuas hati apabila berjaya membawa masuk dua pemain ini dan kami akan terus cuba membawa masuk beberapa lagi pemain yang bersesuaian.

“Usaha ini akan diteruskan sehinggalah ke tarikh akhir jendela perpindahan nanti... ini semua kerana kami mahu memastikan pasukan ini meningkat musim ini,” katanya.

Untuk rekod, biar pun sudah mengikat dua pemain berkenaan, Arteta tetap merancang untuk membawa masuk beberapa pemain lagi dalam masa terdekat.

Malah katanya, usaha berkenaan hanya akan dihentikan sehinggalah musim perpindahan kali ini berakhir tidak lama lagi.

Sementara itu, Arteta menegaskan tidak ada apa-apa perkembangan terkini mengenai usaha kelab berkenaan bagi mendapatkan pemain pertahanan Manchester City, Oleksandr Zinchenko.

Katanya, biarpun beberapa perbincangan sudah pun diadakan berhubung perkara berkenaan, namun masih belum ada sebarang keputusan dibuat mengenainya.

“Setakat ini, memang belum ada apa-apa perkembangan mengenai perkara ini... tetapi sekiranya ada, sudah tentu kami akan memaklumkan mengenainya.

“Lagi pun ketika ini, kami juga sedang menilai pilihan lain dengan mengkaji keperluan di beberapa posisi berbeza pasukan ini,” katanya.