Virus Marburg muncul semula

Kelawar turut dipercayai menyebarkan virus Marburg kepada manusia. - AFP
Kelawar turut dipercayai menyebarkan virus Marburg kepada manusia. - AFP
A
A
A

ACCRA - Dua kes virus Marburg sehingga membawa maut telah dikesan di Ghana, kali pertama penyakit seperti Ebola ditemui di negara Afrika Barat, umum pihak berkuasa kesihatan pada Ahad.

Pada awal bulan ini, sampel darah telah diambil daripada dua orang di wilayah Ashanti dan dipercayai dijangkiti virus tersebut.

Perkhidmatan Kesihatan Ghana (GHS) berkata, sampel tersebut dihantar ke Institut Pasteur di Senegal yang akan mengesahkan virus Marburg itu.

“Ini kali pertama Ghana mengesahkan penyakit virus Marburg,” kata Ketua GHS, Patrick Kuma-Aboagye dalam satu kenyataan.

Difahamkan tiada rawatan atau vaksin setakat ini dan kebanyakan pesakit akan menanti maut seperti virus Ebola. Gejala adalah seperti demam panas, pendarahan dalaman dan luaran badan.

GHS menambah, seramai 98 orang dikenal pasti sebagai kes kontak rapat dan mereka sedang menjalani kuarantin.

Sebelum ini, WHO menyatakan Guinea telah mengesahkan satu kes sama dan wabak itu diisytiharkan berakhir pada September 2021.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus Marburg dilaporkan pernah muncul di Angola, Republik Demokratik Congo, Kenya, Afrika Selatan dan Uganda.

Virus itu boleh merebak daripada haiwan dijangkiti termasuk kelawar. - AFP