Peniaga dikesan jual minyak masak peket RM3.50

Penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan dalam premis itu yang berlokasi di Tanjung Minyak
Penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan dalam premis itu yang berlokasi di Tanjung Minyak
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga kedai runcit di Tanjung Minyak di sini dikesan menjual minyak masak peket bersubsidi dengan harga RM3.50 dalam operasi dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka pada Isnin.

Dalam operasi pada jam 11 pagi itu, penguat kuasa KPDNHEP Melaka membuat pemeriksaan secara mengejut dan mendapati kedai runcit terbabit menjual lebih 50 peket minyak masak subsidi melebihi harga kawalan iaitu RM2.50 bagi 1 kilogram (kg).

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, premis itu turut didapati memberi keutamaan penjualan minyak peket kepada peniaga di sekitar kawasan itu.

Menurutnya, perbuatan peniaga itu boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan menjual barang kawalan melebihi harga yang ditetapkan kerajaan.

"Individu terbabit bakal berdepan denda sehingga RM1juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

"Bagi pertubuhan atau perbadanan boleh dikenakan denda RM2juta di bwah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 jika sabit kesalahan," katanya.

Jelasnya, setakat ini 14 premis telah diperiksa melalui modus operandi terkini yang diamalkan oleh kementerian itu bagi memastikan segala keluhan pengguna diberi perhatian.