Warisan kesal usul isu tuntutan waris Sultan Sulu ditolak

Mohd Shafie pada sidang akhbar di ibu pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie pada sidang akhbar di ibu pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) kesal apabila usul yang dikemukakan secara serentak berkaitan ancaman keselamatan daripada waris kesultanan Sulu pada sidang Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ditolak.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, usul itu adalah bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta aset negara dapat dijaga dengan baik.

"Hari ini kita sedar dan tahu kejadian yang berlaku di Azerbaijan di mana aset Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjadi masalah yang begitu menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

"Jadi saya amat kesal bila berlakunya isu yang begini penting kepada Malaysia bukan hanya berhubung kait dengan kedaulatan negara kita, keselamatan nyawa manusia (namun ia) tidak dibahaskan.

"Malah tadi saya bersuara di dewan DUN yang merupakan satu landasan yang berdaulat yang berasingan dengan Dewan Rakyat, kalau suara rakyat Sabah tidak kedengaran menerusi dewan ini, kita semua bergantung kepada Dewan Rakyat yang ada," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Warisan di Kolombong pada Isnin.

Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, sebelum ini bukan hanya aset diambil tetapi nyawa manusia turut menjadi taruhan dalam kejadian di Tanduo, Lahad Datu.

"Kejadian demi kejadian berlaku bukan hanya penculikan, pembunuhan rakyat Malaysia, harga Malaysia di luar negara dan ini sering kali berlaku.

"Kita seakan-akan tidak mengambil perhatian tentang perkara ini apabila kita bangkitkan tentang isu berhubung kait dengan kedaulatan negara Malaysia dan nyawa rakyat Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, bekas Ketua Menteri Sabah itu berpandangan bahawa kedudukan Sabah sebagai sebuah wilayah memerlukan sistem pertahanan yang mantap.

"Saya harap perkara ini akan mendapat perhatian daripada kerajaan untuk meneliti bagaimana dasar sistem keselamatan kita, sistem pertahanan negara kita dapat kita 'reform' sebaik mungkin," katanya.

Sinar Harian melaporkan DUN Sabah pada Isnin menolak usul yang dikemukakan beliau yang juga sebagai Ketua Pembangkang Sabah pada sidang DUN Sabah ke-16.

Sementara itu, Dewan Rakyat yang berlangsung pada hari yang sama turut kecoh apabila usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah berhubung tuntutan Sulu turut ditolak Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mempengerusikan majlis ketika itu.