Rugi RM4,700 terpedaya iklan kemas rumah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Malang nasib seorang peniaga apabila wang sebanyak RM4,700 dalam akaun bank miliknya lesap akibat terpedaya sindiket penipuan kemas rumah.

Wanita berusia 46 tahun dan menetap di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah Alor Gajah itu adalah mangsa pertama yang ditipu mengggunakan modus operandi iklan tawaran kemas rumah dengan kadar bayaran RM50 bagi tempoh lima jam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, wang dalam akaun mangsa didapati lesap selepas memuat naik dan melengkapkan maklumat peribadi dan perbankan melalui satu pautan.

Menurutnya, kira-kira 30 minit selepas mengisi butiran maklumat, mangsa menerima mesej daripada pihak bank yang memaklumkan terdapat pemindahan wang dari akaunnya ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuan mangsa sebanyak RM4,700.

"Mangsa kemudian menghubungi pihak bank dan memaklumkan bahawa akaun bank miliknya dipercayai digodam.

"Sebaik menyedari dirinya tertipu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zainol berkata, kes berkenaan merupakan kejadian pertama berlaku di Melaka melibatkan modus operandi penggodaman fail.

Justeru, orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati dengan sebarang tawaran melalui laman sosial.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.