Tak adil mahu laksana semua kurang setahun: Rafidah

Tan Sri Rafidah Aziz
Tan Sri Rafidah Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak adil bagi kerajaan yang diberi mandat mentadbir negara bagi tempoh lima tahun selepas PRU, hanya dilihat pada pentadbirannya dalam tempoh tidak sampai setahun.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, rakyat perlu bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan ketika ini menjalankan tanggungjawab mereka sebaiknya untuk mentadbir negara.

“Bagi peluang kerajaan baru (PH) jalankan kerja mereka kerana bukan satu saja kerja perlu dibuat.

“Kerajaan kini (PH) mahu pulihkan apa yang rosak (ketika pentadbiran kerajaan BN), yang salah bawa keadilan, bawa pembangunan berterusan dan perubahan dalam sistem pelajaran... itu semua perlukan masa, tidak boleh dilakukan dalam waktu serentak," katanya pada Program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Dewan Karangkraf, hari ini.

Beliau berkata, rakyat perlu berpesan-pesan agar kerajaan jalankan kerja dengan efektif.

"Mereka (kerajaan PH) tahu apa nak buat," katanya.

Rafidah berkata, tempoh untuk membaiki segala kerosakan tidak dapat dilakukan dalam tempoh singkat dan ia bukan perkara mudah untuk dilakukan.

“Bukan senang betulkan sistem yang rosak, pentadbiran yang rosak... bukan masa sehari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berpandangan, kerajaan PH melakukan kajian terperinci terlebih dahulu mengenai sebarang dasar atau keputusan sebelum diumum kepada rakyat.

“Bincang dulu dengan pihak sepatutnya termasuk kakitangan kerajaan.

"Jangan umum dan tadbir negara melalui media sosial kerana ia tidak jelas,” katanya.