Shereen gagal menyerlah di Oregon

 Shereen Samson Vallabouy
Shereen Samson Vallabouy
A
A
A

PELARI 400 meter (m) wanita kebangsaan Shereen Samson Vallabouy gagal menyerlah dalam penampilan sulungnya di Kejohanan Olahraga Dunia di Oregon, Amerika Syarikat, pada Ahad.

Menurut laman web kejohanan itu, Shereen hanya merekodkan 53.56 saat (s) untuk menamatkan perlumbaan pada tempat ketujuh dalam kumpulan keenam di Stadium Hayfield, sekali gus terlepas peluang ke pusingan separuh akhir selepas menduduki tempat ke-42 daripada 43 secara keseluruhan.

Hanya tiga pelari terpantas dalam setiap kumpulan diikuti enam terpantas secara keseluruhan layak untuk mara ke separuh akhir.

Rekod itu juga jauh ketinggalan daripada catatan terbaiknya iaitu 52.68s yang dicatatkan ketika merangkul emas 400m pada Kejohanan Individu Divisyen II Trek dan Padang di Michigan, Amerika Syarikat Mei lalu.

Jumaat lepas, atlet lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa tersingkir daripada pusingan kelayakan setelah gagal melakukan lompatan pada 2.17m dan mendapat tempat tercorot dalam kalangan 14 peserta. - Bernama