Hina Islam, nabi: Mufti minta pihak berkuasa lebih tegas

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dan mengenakan hukuman lebih tegas terhadap individu serta mereka yang terlibat menghina peribadi Nabi Muhammad SAW.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan tegas perlu diambil demi memelihara kesetabilan negara dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Menurutnya, undang-undang sedia ada perlu disemak semula dan diperketatkan supaya dapat mengelakkan individu atau pihak tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan tersebut.

"Undang-undang sedia ada perlu disemak semula supaya tidak ada lagi yang berani untuk melakukan perbuatan biadab seperti itu.

"Pihak berkuasa perlu tegas dalam menangani isu ini kerana Nabi Muhammad SAW amat disanjung oleh umat Islam di seluruh dunia.

Tiada manusia lain yang disayangi oleh umat Islam seluruh dunia melainkan Nabi Muhammad SAW," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa individu menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW yang tular di media sosial.

Katanya, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja disanjung dan dihormati sebagai seorang pemimpin paling agung sepanjang zaman, malah satu figura suci yang wajib diikuti dan dijadikan teladan.

"Baginda adalah teladan paling utama dan ideal dalam segenap lapangan kehidupan individu dan masyarakat.

Kedudukan peribadi baginda begitu unggul menyebabkan ada yang bersedia mengorbankan apa sahaja termasuk nyawa sendiri untuk membela dan mempertahankan nama baik Rasulullah SAW.

"Hakikat ini perlu difahami oleh semua pihak supaya tidak melakukan sebarang perbuatan atau mengeluarkan kata-kata yang boleh dianggap sebagai menghina, mencerca atau merendah-rendahkan kedudukan pemimpin agung umat Islam ini sehingga menimbulkan kemarahan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, orang ramai tidak wajar bertindak sendiri untuk menghukum sesiapa sahaja yang menghina Rasulullah SAW.

"Jangan mengambil tindakan sendiri dalam menghukum mereka yang menghina Islam dan Rasulullah.

"Serah sahaja individu terbabit kepada pihak berkuasa untuk diuruskan menggunakan saluran undang-undang sedia ada," katanya.

Pada Ahad, seorang lelaki berstatus duda yang menghina agama Islam ditahan polis di Bukit Kuchai, Puchong.

Tangkapan dibuat bersabit satu video berdurasi 36 saat yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki menghina ALLAH, agama Islam dan bangsa Melayu.

Pada Ahad, turut tular, beberapa versi video lelaki itu dibelasah selepas rumahnya diserbu oleh orang ramai yang tidak berpuas hati dengan video celupar dan keterlaluan itu.