Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Nilai ringgit meningkat semula untuk dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Isnin. - Gambar hiasan
Nilai ringgit meningkat semula untuk dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Nilai ringgit meningkat semula untuk dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Isnin selepas pelabur mengambil kira kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan minggu depan, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.08 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4440/4490 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat lepas pada 4.4480/4505.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, tekanan terhadap mata wang tempatan berkurangan selepas tinjauan Universiti Michigan mendedahkan bahawa jangkaan inflasi pada Julai telah mereda berikutan kadar faedah AS yang lebih rendah pada masa ini.

"Bagaimanapun, saya masih mengambil sikap berhati-hati untuk zon euro dan kemungkinan berlakunya kemelesetan, yang mana ini akan menyokong dolar AS di peringkat global kerana ia adalah wang selamat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1806/1847 daripada 3.1688/1710 Jumaat lepas dan lemah berbanding yen Jepun menjadi 3.2161/2199 daripada 3.2048/2069 sebelumnya.

Nilai ringgit turut turun berbanding pound Britain kepada 5.2835/2894 daripada 5.2629/2658 pada hari Jumaat dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.4867/4917 daripada 4.4662/4687. - Bernama