MSIA sokong kerajaan tangguh syarat nisbah tenaga kerja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan untuk menangguhkan syarat bahawa sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja tempatan ditempatkan dalam sebuah syarikat.

Ia sebagai respons kepada laporan berita bahawa kerajaan Malaysia akan menangguhkan selama dua tahun syarat syarikat pembuatan harus mempunyai sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia sebelum mereka dibenarkan mengambil pekerja asing bagi industri semikonduktor dan elektronik dan elektrik (E&E).

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, syarikat E&E di Malaysia lebih gemar mengambil rakyat Malaysia berbanding pekerja asing tetapi ada bekalan pekerja yang tidak mencukupi untuk pekerja yang khusus dalam beberapa pekerjaan di Malaysia walaupun dengan pelaksanaan kenaikan gaji minimum baru-baru ini.

"Industri E&E sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil pekerja tempatan dengan di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak termasuk mendapatkan bantuan ejen.

"Buat masa ini, industri E&E menggalakkan lepasan SPM untuk menyertai akademi anjuran industri tersebut di mana mereka menjalani latihan sambil bekerja selama 18 bulan dan kemudian diberi sijil juruteknik selepas berjaya menamatkan latihan itu,” katanya.

MSIA berkata, industri semikonduktor dan E&E ialah penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dan merupakan industri pertumbuhan utama kerana ia turut menerima peluang pelaburan paling banyak pada tahun 2021 dengan 94 projek diluluskan bernilai RM148 bilion yang akan mencipta sebanyak 28,362 peluang pekerjaan.

Pelaburan oleh syarikat E&E di Malaysia memberi petunjuk bahawa masih terdapat permintaan yang kukuh untuk semikonduktor di seluruh dunia dengan bekalan tidak memenuhi permintaan.

Syarikat mengembangkan kilang sedia ada dan/atau sedang membina kilang baharu untuk cuba memenuhi permintaan semikonduktor, cabaran kritikal yang dihadapi industri tersebut adalah kekurangan pekerja.

Kaji selidik yang dijalankan pada November 2021 yang terdiri daripada 80 ahlinya mendapati bahawa industri memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 pekerja dengan segera apabila syarikat E&E mengembangkan kilang mereka atau menubuhkan kilang baharu.

MSIA menekankan kesan kekurangan tenaga kerja berada pada paras kritikal terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat di Malaysia kerana mereka juga kehilangan pekerja kepada syarikat multinasional yang menawarkan gaji lebih tinggi, akibatnya PKS tersebut terpaksa menolak tempahan baharu. - Bernama