Wisma Putra tidak akan dedah isu lantikan duta

Saifuddin bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Kejohanan Taekwondo MGTF bagi sekolah-sekolah serta kelab-kelab negeri Pahang di Kuantan Parade, Kuantan pada Ahad.
Saifuddin bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Kejohanan Taekwondo MGTF bagi sekolah-sekolah serta kelab-kelab negeri Pahang di Kuantan Parade, Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan pendirian Wisma Putra untuk tidak mendedahkan nama-nama individu yang akan dilantik sebagai ketua perwakilan Malaysia di luar negara ataupun ketua perwakilan asing di negara ini.

Menurutnya, sudah menjadi amalan Wisma Putra untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan pendedahan nama-nama berkenaan tidak akan dibuat sebelum menerima watikah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Nama itu (perwakilan Malaysia) hanya akan keluar pada hari penyerahan watikah, makna kalau Seri Paduka Baginda menyerahkan watikah, kalau lima (watikah), limalah, kalau 10, sepuluhlah, itu yang rasmi.

“Kalau ketua perwakilan asing di Malaysia, apabila Tuanku Agong menerima watikah daripada mereka, pada masa itu baru rasmi.

“Sebab itu Wisma Putra lazimnya tidak mengeluarkan apa-apa (kenyataan) siapa bakal jadi duta, siapa bakal diterima sebagai duta, kami tidak mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya Majlis Penyampaian Kejohanan Taekwondo MGTF bagi sekolah-sekolah serta kelab-kelab negeri Pahang di Kuantan Parade di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kedudukan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Indonesia yang menimbulkan pertikaian beberapa pihak sejak akhir-akhir ini.

Tajuddin sebelum ini dijadualkan menerima watikah daripada Al-Sultan Abdullah pada 20 Jun lalu, sebelum ditangguhkan susulan Yang di-Pertuan Agong gering pada bahagian kaki.

Bagaimanapun, nama Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak disenaraikan pada majlis penyerahan watikah yang berlangsung di Istana Negara pada 12 Julai lalu.

Pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Indonesia mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk bekas diplomat.

Beberapa pihak dalam UMNO turut mendesak Tajuddin digugurkan sebagai Duta Besar ke Indonesia kerana tindakannya menyerang Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka selepas digugurkan daripada jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 23 Jun lalu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Julai lalu dilaporkan berkata, desakan supaya pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dibatalkan adalah cubaan mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.