Japas akan panggil individu hina Islam, selamatkan akidah

Idris (kiri) meninjau kerosakan bahan bacaan akibat banjir dan kepala air di SMA Arab Yayasan Khairiah, Kupang, Baling pada Ahad.
Idris (kiri) meninjau kerosakan bahan bacaan akibat banjir dan kepala air di SMA Arab Yayasan Khairiah, Kupang, Baling pada Ahad.
A
A
A

BALING - Individu yang dikenal pasti menghina Islam akan dipanggil Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (Japas) dalam usaha menyelamatkan akidah mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, Japas di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil mana-mana individu yang dikesan melakukan penghinaan terhadap agama agar memelihara akidah daripada terus terpesong.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Japas menjelaskan, jawatankuasa itu turut disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Agama Islam Negeri.

"Kita akan hubungi mana-mana individu yang dikesan ini kerana kita mahu selamatkan akidah mereka," katanya ketika hadir menyampaikan Sumbangan Banjir Baling di Sekolah Menengah Agama (SMA) Arab Yayasan Khairiah Kupang, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian apabila ditanya berhubung tindakan individu menghina Islam yang dilakukan secara terbuka termasuk penghinaan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bayu, Abd Nasir Idris.

Menurut Idris, individu itu akan dihubungi dan diberikan nasihat, sekiranya masih berdegil, tindakan akan diambil.

"Orang Islam kena ingat, kalau permainkan soal agama, ia melibatkan akidah. Kalau mereka bercakap itu dalam keadaan jahil, kita panggil dan nasihatkan. Kalau masih degil maka tindakan akan dikenakan," katanya.

Idris (dua dari kiri) meninjau kerosakan akibat banjir dan kepala air di SMA Arab Yayasan Khairiah Kupang, Baling pada Ahad.
Idris (dua dari kiri) meninjau kerosakan akibat banjir dan kepala air di SMA Arab Yayasan Khairiah Kupang, Baling pada Ahad.

Dalam masa sama, Idris turut mengingatkan agar rakyat di negara ini termasuk bukan Islam tidak terus menghina agama Islam berikutan perkara itu amat sensitif kepada orang Islam.

"Orang bukan Islam jangan bersikap demikian (menghina) kerana orang Islam sensitif sebab itu penjajah Inggeris boleh perintah lama, mereka tahu sensitiviti orang Melayu. Bab agama mereka serah pada raja-raja.

"Komunis perintah tak lama, 12 hari sahaja sebab tindakan mereka bakar surau, masjid menyebabkan komunis tak boleh diterima dalam masyarakat kita. Kita nak hidup harmoni, dengan baik. Mereka hidup dengan agama mereka, kita dengan agama kita," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Idris memaklumkan sejumlah RM1.3 juta telah disumbangkan MAIWP bagi membantu mangsa banjir dan kepala air di Kupang, Baling.

Sumbangan itu bagi tujuan membina semula tiga buah rumah termasuk perabot bernilai RM270,000, bantuan tunai berjumlah RM672,000, bantuan baik pulih SMA Arab Yayasan Khairiah bernilai RM300,000 dan bantuan surau dan masjid bernilai RM58,000.

Jelas Idris, pada 6 Julai lalu, Skuad Musaadah diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk telah menyerahkan sumbangan awal berjumlah RM99,550 kepada 110 ketua isi rumah yang terjejas banjir.

Antara sumbangan awal yang diterima berupa barangan keperluan asas, makanan sedia untuk dimakan, kit solat, toto/selimut, susu bayi dan lampin pakai buang.

"Hari ini, Skuad Musaadah menyampaikan sumbangan tambahan iaitu dapur dan tong gas bernilai RM24,200 dan Masjid Putrajaya memberikan sumbangan wang tunai bernilai RM20,000.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima buat bencana bernilai RM1,443,750," katanya.