Amanah sokong PM sehingga Parlimen bubar

Mohamad (tengah) diiringi Izham ( kanan) menyampaikan anugerah kepada ahli Amanah pada Konvensyen Amanah Peringkat Negeri Selangor.
Mohamad (tengah) diiringi Izham ( kanan) menyampaikan anugerah kepada ahli Amanah pada Konvensyen Amanah Peringkat Negeri Selangor.
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Amanah Negara (Amanah) menolak sebarang cadangan menukar Perdana Menteri dalam tempoh terdekat memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah semakin hampir.

Presiden parti itu, Mohamad Sabu berkata, Amanah akan terus memberi sokongan terhadap Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan iaitu di antara Ogos sehingga Julai tahun depan.

Beliau berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) tidak berakhir 31 Julai ini sebaliknya sehingga Parlimen dibubarkan.

"MoU tidak berakhir pada 31 Julai ini sebaliknya (dalam MoU) tidak boleh diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) sehingga akhir Julai ini dan dalam MoU tidak disebut tarikh tamatnya (MoU) bila.

"Kalau boleh biarlah sehingga PRU sebab kalau kita tukar Perdana Menteri dalam suasana dekat dengan PRU ia tidak membawa banyak manfaat," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Mohamad (duduk dua kiri) dalam sidang media sempena Konvensyen Amanah Peringkat Negeri Selangor
Mohamad (duduk dua kiri) dalam sidang media sempena Konvensyen Amanah Peringkat Negeri Selangor

Mohamad ditemui di Konvensyen Amanah Peringkat Negeri Selangor yang disempurnakan Pengerusi Amanah Negeri Selangor, Ir Izham Hashim di sebuah hotel di Subang Jaya di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyertaan mana mana parti menerusi konsep 'khemah besar' selain gabungan PH pula hanya akan diputuskan secara bersama oleh Majlis Presiden PH.

Mohamad berkata, Amanah tidak boleh membuat sebarang rundingan atau kerjasama secara solo dengan parti lain sebaliknya sebarang perundingan perlu melalui PH secara bersama.

"Kita akan bincangkan dalam Majlis Presiden PH dan dari situ kita akan membuat pergerakan yang semestinya mendapat persetujuan bersama, Amanah tidak buat keputusan secara solo," katanya.