Mat Kilau hero sebenar anti rasuah, pengkhianatan

Dr Mujahid Yusof Rawa
Dr Mujahid Yusof Rawa
A
A
A

SHAH ALAM - Bangsa Melayu di negara ini perlu mengambil semangat Mat Kilau agar mereka bebas dari cengkaman para pendusta bangsa.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, langkah itu perlu bagi mengembalikan heroisme sebenar kepimpinan Melayu yang anti rasuah, anti pengkhianatan dan mengembalikan erti maruah sebenarnya.

Menurutnya, rakyat perlu membebaskan diri dari minda terkepung dikongkong sikap prejudis kepada semua orang termasuk dalam kalangan anak bangsa Melayu.

“Yang mengepung minda Melayu ialah para elitis politik Melayu yang berterusan menunggang kaum dan agama untuk mencapai kerakusan haloba dunia mereka,” katanya menerusi facebook pada Sabtu.

Mujahid berkata, Mat Kilau telah menjadi fenomena dengan sedikit sentuhan seni dan karya sutradara berkesan, sosok tubuh pemberontak penjajah Inggeris kini jadi wira orang Melayu.

“Filem Mat Kilau muncul di celah ketidakstabilan politik dan keruntuhan nilai serta maruah bangsa gara-gara kepimpinan politik Melayu yang rakus dan berjuang untuk melepaskan diri dari sabitan jenayah rasuah terbesar negara,” katanya

Jelasnya, betapa songsangnya makna hero dalam realiti hari ini apabila orang Melayu mengagungkan perasuah yang terbukti sabit bersalah dengan gelaran Bossku! Apa Malu Bossku?

“Langkah Sheraton yang sarat dengan pembelotan erti kesetiaan dan mandat rakyat diceroboh tanpa rasa bersalah atas nama Melayu,” katanya.

Mujahid turut mengingatkan kepimpinan Melayu hari ini untuk perlu bermula dengan langkah mengakui kegagalan selama ini kerana sistem payungan yang menghancurkan kompas moral dan nilai kemuliaan.

“Tolak heroisme songsang, tolak Melayu yang menunggang kaum dan bangsa, jadilah seperti Mat Kilau bangkitnya seorang pahlawan yang amanah dan jujur kepada umatnya,” ujarnya.