Industri francais tempatan berkembang di lima negara

Azman (dua dari kiri) memberitahu sesuatu kepada Norolazali (dua kanan) ketika majlis perasmian Program Jelajah Francais Bay (PJFB) 2022 di Kuantan City Mall pada Sabtu.
Azman (dua dari kiri) memberitahu sesuatu kepada Norolazali (dua kanan) ketika majlis perasmian Program Jelajah Francais Bay (PJFB) 2022 di Kuantan City Mall pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Malaysia sudah mengenal pasti lima negara bagi tujuan mengembangkan industri francais tempatan di luar negara bermula tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwan Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, usaha itu dilakukan susulan penerimaan jenama francais tempatan yang dilihat semakin berkembang di luar negara.

Menurutnya, misi pengembangan perdagangan francais telah dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan melalui penglibatan dalam pameran.

"Kita sudah melakukan misi pengembangan perdagangan francais menerusi program pengukuhan francais untuk meningkatkan eksport (EFDP) di Arab Saudi, Bosnia dan Afrika Selatan tahun ini.

"Selepas ini, misi yang sama akan diteruskan di dua negara ASEAN iaitu Filipina dan Indonesia. Program ini dilaksanakan bersama pihak Malaysia Franchise Association (MFA)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Francais Bay (PJFB) 2022 ke negeri Pahang di Kuantan City Mall pada Sabtu.

Program itu dirasmikan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Jelajah siri ketiga selepas Sarawak dan Johor itu, menyasarkan sekurang-kurangnya 30 potensi francaisi dengan nilai jangkaan potensi pelaburan sebanyak RM7.5 juta.

Mengulas lanjut, Azman berkata, misi pengembangan perdagangan francais mendapat maklum balas positif daripada negara luar khususnya tentang produk buatan Malaysia.

Jelasnya, kebanyakan negara luar yakin dengan produk Malaysia kerana mempunyai Sijil Pengesahan Halal dan Logo Halal yang dijamin piawaiannya.

"Produk Malaysia ada keistimewaan dari segi standard kualiti dan ada sijil halal. Jadi produk kita ada potensi untuk dikembangkan ke peringkat luar negara," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyertaan usahawan di ekspo dan pameran peringkat antarabangsa ini antara inisiatif kerajaan membantu mempromosikan perniagaan mereka, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.

Menurutnya, sebanyak 20 syarikat francais tempatan terlibat dalam sesi pameran terbabit sekali gus mendedahkan mereka kepada pakej latihan dan pembiayaan yang telah disediakan oleh kerajaan dalam kalangan bakal usahawan francais.