Kelantan masih rendah derma darah

Simbolik promosi Program Pakat Derma Darah 2022 oleh Dr Rahimah (kiri) dan Johari (dua dari kiri) serta rakan penganjur. Foto SInar Harian
Simbolik promosi Program Pakat Derma Darah 2022 oleh Dr Rahimah (kiri) dan Johari (dua dari kiri) serta rakan penganjur. Foto SInar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan antara negeri yang masih rendah menderma darah dengan hanya 1.7 peratus penderma daripada keseluruhan populasi penduduk di negeri ini.

Ketua Jabatan Perubatan Tranfusi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Rahimah Abdul Wahab berkata, jumlah tersebut masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan sebanyak 2.5 peratus penderma daripada keseluruhan populasi penduduk negeri ini menjelang 2025.

“Sasaran ini ditetapkan untuk dicapai di seluruh negara termasuk Kelantan dalam tempoh lima tahun akan datang bermula pada tahun 2020.

“Setakat ini, Kelantan antara negeri yang masih rendah penderma darah iaitu hanya 1.7 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk di negeri ini dan perlu ditingkatkan lagi,” katanya pada sidang akhbar Promosi Program Pakat Derma Darah 2022 sempena Hari Menderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Macma Kelantan, Dr Johari Yap.

Dr Rahimah berkata, penggunaan darah di Kelantan secara purata sebanyak 100 beg sehari, 500 beg seminggu dan 1,000 sehingga 1,500 beg sebulan.

DR RAHIMAH. Foto SInar Harian
DR RAHIMAH. Foto SInar Harian

“Pengunaan darah juga meningkat ketika ini bagi menampung pembedahan dan rawatan semula kepada para pesakit yang tergendala akibat dua tahun Covid-19 sebelum ini.

“Bekalan darah di Kelantan yang terkini mencukupi dan perlu dikekalkan stok 600 beg darah sepanjang masa bagi menampung penggunaan 100 beg darah pada setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Dr Johari berkata, program Pakat Derma Darah akan berlangsung pada 29 Julai ini di ruang legar utama pusat membeli-belah KB Mall, di sini, bermula jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

“Program dianjurkan MACMA Kelantan, Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), Lion Club of Glorious Budaya, Kota Bharu, Persatuan Cina Kelantan dengan kerjasama Unit Transfusi HRPZ II.

“Penganjuran pada tahun 2019 berjaya mengumpulkan 120 beg darah dan 520 bag darah pada tahun 2020. Tahun ini kami menyasarkan 500 beg darah dapat dikumpulkan untuk kegunaan rakyat Kelantan yang memerlukan,” katanya.