RM5.5 juta perkasa peranan MBM, pertubuhan belia lain

Ismail Sabri bersama Hajiji dan Ahmad Faizal ketika melancarkan sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, Tuaran pada Sabtu
Ismail Sabri bersama Hajiji dan Ahmad Faizal ketika melancarkan sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, Tuaran pada Sabtu
A
A
A

TUARAN - Sebanyak RM5.5 juta dana diperuntukkan kerajaan untuk terus memperkasakan peranan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan pertubuhan belia lain di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan yang disediakan itu adalah di bawah inisiatif bantuan pentadbiran.

"Bagi terus memperkasakan peranan MBM dan pertubuhan-pertubuhan belia lain, kerajaan memperuntukkan RM5.5 juta di bawah inisiatif bantuan pentadbiran dengan syarat mereka melengkapkan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD).

"Sehingga kini, sebanyak RM1.5 juta telah digunakan, telah pun diagihkan kepada pertubuhan belia. Ada RM3.5 juta lagi, jadi saya difahamkan oleh menteri Kementerian Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dan yang lain-lain telah diproses dan pembayaran akan dibuat dalam waktu terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran di sini pada Sabtu.

Beliau dalam pada itu berkata, pandemik Covid-19 telah menjadikan generasi belia sebagai pengguna teknologi dan media sosial yang tinggi sehingga mereka menjalani kehidupan yang tidak aktif.

Katanya, Indeks Belia Malaysia 2021 menunjukkan skor kesejahteraan mental dan fizikal belia berada di tahap sederhana dan ia perlu ditangani melalui penglibatan belia dalam aktiviti sukan dan amalan gaya hidup.

"Sehubungan itu, Malaysia Sports League (MSL), sebuah inisiatif baharu pembudayaan untuk bersukan khususnya bagi golongan belia, menyasarkan penyertaan 133,000 orang dan 2,232 program yang memberi manfaat kepada lima juta penyertaan di seluruh negara.

"Kerajaan percaya Model Baharu Pembangunan Belia 2030 yang sedang dirangka dapat direalisasikan sebagai agenda mutakhir bagi memperkasakan elemen belia sebagai sumber dan aset negara," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.