Tiga pemburu haram diberkas

Dua ekor disyaki pelanduk antara dirampas menerusi Operasi Bersepadu Khanazah susulan tangkapan tiga lelaki di Tapak Ramsar Tasek Bera, Pahang, pada 10 Julai lalu. (Gambar kecil) Abdul Kadir
Dua ekor disyaki pelanduk antara dirampas menerusi Operasi Bersepadu Khanazah susulan tangkapan tiga lelaki di Tapak Ramsar Tasek Bera, Pahang, pada 10 Julai lalu. (Gambar kecil) Abdul Kadir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki termasuk seorang warga emas yang berburu secara haram di kawasan Tapak Ramsar Tasek Bera, Pahang ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), pada Ahad lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kesemua mereka yang merupakan warga tempatan ditahan kira-kira jam 7.30 petang hasil operasi sepasukan anggota Perhilitan bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang serta Veteran Angkatan Tentera dan Orang Asli (VeTOA).

"Pelbagai barang telah dirampas antaranya dua laras senapang angin; 40 biji guli, sebilah pisau dan telefon bimbit.

"Disyaki mereka terlibat sebagai pemburu haram susulan rampasan dua ekor binatang disyaki pelanduk," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia 34 hingga 72 tahun dibawa ke Balai Polis Triang, Pahang untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 60 (1) (b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Tegas beliau, mana-mana orang yang menjalankan aktiviti tangkapan (memburu), menjual atau menyimpan apa-apa hidupan liar yang disenaraikan di dalam Akta 716 tanpa sebarang lesen permit atau permit khas boleh didenda sehingga maksimum RM1 Juta dan penjara sehingga 15 tahun.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh salurkan kepada Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.