PPAS beri peluang rakyat pinjam komputer riba, desktop

Amirudin berucap semasa Pemukiman Sasterawan dan Karyawan pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Jubli Emas 50 tahun PPAS.
Amirudin berucap semasa Pemukiman Sasterawan dan Karyawan pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Jubli Emas 50 tahun PPAS.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat di Selangor boleh meminjam komputer riba dan desktop di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada Ogos depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 10 komputer riba dan desktop disediakan di setiap perpustakaan terlibat.

"Inisiatif ini diperkenalkan bagi membolehkan masyarakat meminjam komputer riba dan desktop di 50 buah perpustakaan terpilih," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Amirudin berkata, PPAS telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi memupuk semangat membaca dalam kalangan rakyat dan ia diharap menjadi pemangkin kepada usaha menyuburkan budaya cintakan ilmu.

Jelas beliau, sebanyak 104 PPAS di negeri ini telah berjaya mengupayakan dan menghidupkan peranan sebuah perpustakaan bersifat lebih meluas termasuk menjadi pusat sehenti kepada komuniti setempat.

Amirudin yang hadir ke Majlis Makan Malam sempena Sambutan Jubli Emas 50 tahun PPAS pada Khamis menyifatkan penganjurannya cukup bersejarah dan bermakna.

"Saya amat berbangga kerana program ini turut dihadiri tujuh sasterawan negara yang mana penganjuran kali ini juga, PPAS telah mengadakan pemukiman sasterawan dan karyawan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM200,000 bagi tujuan penerbitan dan penghasilan karya oleh sasterawan negara.

"Kerajaan negeri turut berhasrat mewujudkan Anugerah Sasterawan Negeri dalam usaha memartabatkan bidang sastera dan persuratan tanah air," katanya.

Pada majlis itu, tujuh sasterawan negara hadir iaitu, Datuk Seri Dr A Samad Said, Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Baha Zain, Datuk Dr Zurinah Hassan, Profesor Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Rahman Shaari.