[VIDEO] Kanak-kanak perempuan maut dipercayai dibunuh ibu

Seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ditemui mati di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng pada Khamis.
Seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ditemui mati di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng pada Khamis.
A
A
A

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ditemui mati di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan luka di bahagian dahi dan kesan jerut pada leher mangsa.

"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.55 petang. Ibu mangsa berusia 34 tahun bertindak menghubungi pihak polis dan menyatakan mangsa yang merupakan anak sulung daripada enam beradik itu sudah meninggal dunia akibat menggantung diri.

"Pihak polis kemudiannya menjalankan siasatan dan mendapati tempat menggantung diri berkenaan tidak boleh menyebabkan mangsa maut.

"Malah timbul keraguan terhadap keadaan mayat mangsa dengan kenyataan yang diberikan oleh ibunya yang tidak konsisten dengan keterangan diberikan saksi-saksi lain," katanya.

Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk dibedah siasat.

"Siasatan awal mendapati mangsa mungkin dipercayai tidak mendengar nasihat ibunya. Polis akan menjalankan siasatan terhadap wanita itu sama ada mengalami penyakit mental atau tidak.

"Ibu mangsa ditahan untuk siasatan lanjut dan Majistret Batu Pahat membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 21 Julai ini," katanya.

Kamarul Zaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!