Lelaki maut dipercayai dipukul isteri

Polis membawa mayat mangsa bunuh dipercayai dipukul isteri dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya di sini pagi Jumaat. - Foto Bernama
Polis membawa mayat mangsa bunuh dipercayai dipukul isteri dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya di sini pagi Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat dipukul isterinya dalam satu kejadian di Flat Nipah, Taman Daya, di sini pagi Jumaat.

Mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira jam 7.50 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang dikenali sebagai Lee Ming How, 44, ditemukan terbaring dalam rumah.

"Susulan dari itu, isteri mangsa berusia 35 tahun telah ditahan dan akan dimohon reman hari ini," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.

Beliau berkata, kejadian itu turut disaksikan anak lelaki mereka, dipercayai berusia 11 tahun.

Pasangan itu difahamkan mempunyai seorang lagi anak iaitu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Raub berkata, pihaknya masih menyiasat senjata dan motif kejadian serta satu kenyataan akhbar lebih lengkap akan dikeluarkan pada Jumaat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang penduduk Zaidah Neng, 46, berkata, pasangan suami isteri itu kerap bergaduh dan wanita tersebut pernah ditahan polis sebelum ini.

"Saya memang kenal pasangan suami isteri berkenaan, tetapi kami tidaklah terlalu rapat cuma dia selalu datang beli burger di gerai saya.

"Wanita berkenaan baik sahaja orangnya, cuma dia seperti ada masalah mental, jadi ada ketikanya dia akan bertindak garang dan kerap marah-marah serta bercakap seorang dalam bahasa Mandarin," katanya kepada pemberita.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk siasatan lanjut kira-kira jam 11 pagi Jumaat. - Bernama