Penolong Pengarah JPN maut terseret 29 meter

Kawasan mangsa berjalan kaki di kiri jalan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Kota Bharu. -Foto PDRM
Kawasan mangsa berjalan kaki di kiri jalan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Kota Bharu. -Foto PDRM
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan maut akibat diseret sejauh 29 meter oleh sebuah kereta ketika berjalan kaki di tepi Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh di Padang Kala dekat sini pada Khamis.

Mangsa, Nik Mohd Hissham Mohamed Nor, 45, meninggal dunia dalam kemalangan pada jam 11.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, polis menerima panggilan daripada Bilik Gerakan Kota Bharu memaklumkan seorang pejalan kaki lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sewaktu mangsa berjalan kaki dari Sekolah Kebangsaan Padang Kala menghala ke rumah sepupunya yang terletak di seberang jalan.

“Menurut keterangan saksi bebas yang melihat kejadian itu, mangsa berjalan di bahu jalan dari Peringat menghala ke Melor.

“Kemudian datang sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah belakang mangsa yang dipandu oleh lelaki termasuk ke bahu jalan lalu melanggar mangsa yang berada di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.

Mohd Rosdi berkata, akibat rempuhan itu, mangsa terseret sejauh 29 meter ke bahu jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kereta yang merempuh mangsa itu dipandu oleh seorang pemuda yang berusia 25 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 24 tahun.

Keadaan kereta yang melanggar mangsa yang berjalan kaki sehingga maut.
Keadaan kereta yang melanggar mangsa yang berjalan kaki sehingga maut.

“Ujian saringan air kencing, kedua/duanya negatif dadah manakala pemeriksaan pada kereta mendapati kemik pada bahagian bumper depan dan cermin hadapan pecah,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat.

“Kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian dan kelekaan pemandu kereta Perodua Axia tersebut.

“Pemandu tidak berhati-hati dan berhemah hingga menyebabkan berlakunya kemalangan dan kematian kepada mangsa bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.