Alumni USM cipta wayang kulit animatronik

WKA merupakan persembahan wayang kulit dengan gabungan teknologi robotik bersama-sama seni persembahan wayang kulit, pertama kali dihasilkan di negara ini.
WKA merupakan persembahan wayang kulit dengan gabungan teknologi robotik bersama-sama seni persembahan wayang kulit, pertama kali dihasilkan di negara ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Tidak mahu seni warisan wayang kulit ditelan zaman membuatkan alumni Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Ahnaf Hakimi Ahmad, 33 tampil dengan idea dan inovasi membangunkan wayang kulit animatronik (WKA).

Graduan ijazah sarjana muda Seni Halus (2015) dan Sarjana Instruksi Multimedia (2018) itu berkata, WKA merupakan satu projek khusus wayang kulit dengan gabungan teknologi robotik bersama-sama seni persembahan wayang kulit, pertama kali dihasilkan di negara ini.

Menurutnya, cara WKA dipersembahkan adalah sama seperti wayang kulit tradisional namun yang membezakannya, WKA sepenuhnya dikendalikan secara robotik tanpa perlu melibatkan kehadiran fizikal para pemain wayang kulit termasuk tok dalang, pemuzik, krew dan sebagainya.

Ahnaf Hakimi
Ahnaf Hakimi

Ahnaf Hakimi berkata, idea untuk menghasilkan WKA mula tercetus apabila terdapat kurangnya persembahan wayang kulit pada masa kini.

"Dalam menjayakan satu-satu persembahan wayang kulit, modal kewangan diperlukan untuk kos-kos yang terlibat termasuk bayaran upah kepada Tok Dalang, pemuzik, krew dan individu lain yang terlibat.

“Saya rasakan selain berinovasi, WKA juga dapat menjadi satu medium ke arah mengurangkan kos persembahan, yang mana ia adalah salah satu faktor kurangnya persembahan wayang kulit tradisional dipersembahkan pada hari ini.

“Jika kos dapat dikurangkan, persembahan wayang kulit dapat dilakukan secara lebih kerap,” katanya yang mempunyai kemahiran dalam bidang multimedia dan robotik.

Mengulas lanjut mengenai WKA, Ahnaf Hakimi mengakui projek berkenaan bermula dari cetusan idea dan dijayakan sepenuhnya olehnya.

Katanya, bermula dari rekaan mekanikal, sistem komputer dan pengaturcaraan, saya lakukan sendiri dengan berbekalkan pengalaman yang ada.

Jelasnya, dari segi reka bentuk watak wayang kulit, ia dihasilkan oleh yaya-okita (artis komik) dan juga audio menggunakan khidmat Wak Long Music & Art Center bersama dalang iaitu Mursyid Md Hussein, yang juga alumni USM.

"Penghasilan WKA dibuat dengan penuh teliti kerana ia memerlukan penyelidikan, pemerhatian, pembangunan reka bentuk dan juga kerja-kerja pertukangan.

“Kesemua ini memerlukan dedikasi yang tinggi kerana proses ini memerlukan ketahanan dan keboleh-ulangan yang tinggi bagi menjamin kualiti persembahan wayang kulit ketika dimainkan,"katanya.

Ahnaf Hakimi menegaskan, beliau yakin inisiatifnya itu dapat memberikan impak yang meluas, khususnya dalam menarik minat generasi masa kini untuk mengetahui dan menghayati seni wayang kulit.

“Dengan adanya WKA, pengunjung dapat melihat, mengenali, merasai dan mempelajari pergerakan robotik dan sistem kawalan automatik yang dibangunkan dalam WKA.

"Ia sedikit sebanyak dapat memberikan pendedahan terhadap kepentingan revolusi dalam memastikan kelangsungan seni budaya warisan berzaman dapat diwariskan dari generasi ke generasi.

“Saya turut berharap agar generasi muda masa kini dapat memeliharan warisan seni yang tidak ternilai harganya ini. Selain itu, rekaan WKA ini dapat menarik minat mereka dalam menceburi teknologi robotik yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai perkara pada zaman ini,”katanya.

Wayang Kulit Animatronik pertama kali dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM dan ia terbuka untuk semua pengunjung sehingga hujung Julai depan.