Tze Yong mara suku akhir Terbuka Singapura

Ng Tze Yong
Ng Tze Yong
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mara ke suku akhir Terbuka Singapura selepas menewaskan wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu di pusingan kedua pada Khamis.

Pemain yang kini berada di kedudukan ranking ke-47 dunia menang straight set 21-15, 21-13 di Stadium Tertutup Singapura dan bakal berdepan pilihan keempat dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting di suku akhir pada Jumaat.

Mengiringi Tze Yong ke suku akhir ialah beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mara selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 10-21, 21-18, 21-10.

Cabaran getir menanti pasangan negara apabila dijadual menentang pilihan keempat dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet yang sebelum itu mengalahkan Hafiz Faizal-Serena Kani 21-16, 21-10.

Turut mara Chen Tang Jie-Valeree Siow yang mengalahkan satu lagi gandingan Hong Kong, Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau 21-13, 21-7.

Bagaimanapun satu lagi wakil negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See terkandas apabila tewas kepada pemain China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, 21-19, 21-14.

Sementara dalam acara beregu lelaki tiada wakil negara yang berjaya meloloskan diri ke suku akhir bermula dengan gandingan muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri tumbang kepada wakil tuan rumah, Terry Hee-Loh Kean Hean 9-21, 17-21,

Sementara pasangan profesional, Goh V Shem-Low Juan Shen akur kepada Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia, 11-21, 18-21.

Gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula terpaksa akur kepada kehebatan pilihan kedua dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan apabila tewas 14-21, 15-21.

Sementara itu, pilihan kelima, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula dikejutkan wakil Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han apabila tumpas 18-21, 19-21.

Pilihan keenam, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menjadi harapan tunggal negara untuk mara ke fasa berikutnya juga berakhir apabila tewas kepada gandingan India, MR Arjun-Dhruv Kapila 21-18, 22-24, 18-21.