Polis siasat kes pengutip kotak kena tampar

Kejadian tular memperlihatkan mangsa didatangi lelaki tidak dikenali ketika mengutip kotak.
Kejadian tular memperlihatkan mangsa didatangi lelaki tidak dikenali ketika mengutip kotak.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sedang menyiasat kes tindakan seorang lelaki menampar dan membaling selipar terhadap seorang pengutip kotak di hadapan sebuah stesen minyak, di Taman Putri dekat Kulai, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian pada 2.18 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 37 tahun itu sedang mengutip kotak.

Mangsa memberitahu, semasa berada di tempat kejadian, dia didatangi seorang lelaki tidak dikenalinya yang menunggang motosikal dan memintanya beredar dari kawasan tersebut.

"Lelaki terbabit kemudian bertindak menampar muka mangsa dan membaling selipar serta cuba menendang bagi menghalaunya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beng Yeow berkata, siasatan polis mendapati mangsa berada di lokasi itu kerana hendak mencari kotak dan dia tidak mengenali serta tidak pernah melihat individu berkenaan sebelum ini.

"Tiada kecederaan serius dialami mangsa, hanya sakit di bahagian badan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Beliau meminta saksi kejadian tampil memberikan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor, Nik Mohamad Nazirul Azri di talian 013-4401 866. - Bernama.