Banjir Baling: Kerajaan Kedah mohon maaf

Muhammad Sanusi menyampaikan wang ihsan sewa rumah kepada mangsa banjir dan kepala air di Kampung Iboi Kupang, Baling.
Muhammad Sanusi menyampaikan wang ihsan sewa rumah kepada mangsa banjir dan kepala air di Kampung Iboi Kupang, Baling.
A
A
A

BALING - Kerajaan Kedah memohon maaf kepada mangsa terjejas banjir dan kepala air di Kampung Iboi di sini sehingga mengorbankan tiga nyawa dalam kejadian 4 Julai lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, permohonan maaf dibuat atas sifat kemanusiaan selain tidak dapat melindungi rakyat atas apa yang berlaku, namun mengakui perkara itu di luar jangka.

Menurutnya, permohonan maaf itu bukanlah bermaksud beliau mengakui keseluruhan kesilapan berpunca daripada kerajaan negeri, sebaliknya atas rasa tanggungjawab terhadap rakyat negeri ini.

"Alangkah baiknya kerajaan dapat minta maaf, saya rasa patut sebagai ketua kerajaan (minta maaf) tidaklah bermaksud saya mengakui kesilapan seluruhnya, ini bencana tragedi termasuk tragedi Gunung Jerai, tiada siapa minta dan tiada siapa jangka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Sewa Rumah kepada mangsa banjir di Pejabat Daerah Baling pada Khamis.

Menurut Muhammad Sanusi, sebagai hamba pemikiran manusia tidak menjangkau masa hadapan serta terbatas.

"Itu bermaksud kita sebagai manusia, setinggi mana pun kedudukan pangkat, kita sangat terbatas, sangat kerdil... makhluk ini tidak boleh jangka, tidak tahu masa depan hendak jadi apa," katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 17 keluarga mangsa banjir yang mengalami kemusnahan rumah dan hanyut akibat arus deras diberikan wang ihsan sebanyak RM3,000 setiap keluarga sebagai bantuan sewa bagi tempoh enam bulan.

Beliau turut menasihati agar pemberian tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penerima bagi menampung bayaran sewa rumah, sementara proses membaik pulih kerosakan mengambil masa yang lama.