Kemasukan ayam bulat meningkat 80 peratus

Ronald melakukan tinjauan operasi pengimportan dan pengeksportan produk-produk berasaskan haiwan dan pertanian di Kompleks Kargo KLIA.
Ronald melakukan tinjauan operasi pengimportan dan pengeksportan produk-produk berasaskan haiwan dan pertanian di Kompleks Kargo KLIA.
A
A
A

SEPANG - Kemasukan ayam bulat ke pasaran tempatan meningkat sehingga 80 peratus kepada 471 tan metrik bulan lalu, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurutnya kemasukan keratan ayam juga meningkat sebanyak 30 peratus daripada 7,800 tan metrik kepada 10,200 tan metrik sejak inisiatif pemansuhan permit import (AP) dan penangguhan fi permit dilaksanakan bermula Jun lepas.

"Peningkatan itu turut didorong oleh pertambahan 11 loji pemprosesan luar negara yang diiktiraf sentiasa dikemaskini," katanya.

Ronald berkata, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) juga telah melaksanakan beberapa inisiatif semasa bagi memudahcara prosedur pengimportan bahan makanan ke dalam negara antaranya proses kemasukan pantas 24 jam di pintu-pintu masuk negara bagi komoditi makanan.

"Proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara juga telah membantu 380 syarikat yang berdaftar mengimport produk makanan haiwan dengan lancar," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sejumlah 490 konsainan bijirin dan makanan haiwan dengan kuantiti sebanyak 173,000 tan metrik bernilai RM483 juta telah mendapat manfaat dari proses kemasukan pantas itu.

"Maqis di Kargo KLIA merekodkan penurunan jumlah kes penahanan yang melibatkan cubaan membawa masuk dan keluar hasil agromakanan tanpa permit," katanya menerusi sidang akhbar di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.

Sehingga 30 Jun, sebanyak 17 kes direkodkan dengan nilai anggaran tahanan berjumlah RM659,000 berbanding 41 kes (RM1.9 juta) pada tahun 2021.

Mengulas lanjut mengenai loji pemprosesan, beliau berkata, 11 loji baharu itu terdiri daripada beberapa negara pengeksport iaitu Thailand, India dan Pakistan.

"Jumlah loji sedia ada adalah 216 di 26 buah negara telah dipertingkatkan kepada 227 buah loji," katanya.

Ujarnya, MAFI telah melakukan pemeriksaan ke atas pusat penyembelihan dan loji pemprosesan di Brazil, Argentina, Ireland dan Korea bagi tempoh Mei hingga Julai.

"MAFI akan terus berusaha untuk meningkatkan loji-loji luar negara yang layak dan menepati piawaian bagi memastikan tiada sebarang unsur monopoli dan manipulasi pasaran serta dapat mengalakkan persaingan sihat yang dapat menawarkan harga yang murah kepada rakyat sekaligus memastikan kelangsungan bekalan yang berterusan," katanya.