Lesen tamat tempoh, tiada perlindungan insurans

Antara kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha (HRAA) pada Rabu. Foto: Ihsan JPJ
Antara kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha (HRAA) pada Rabu. Foto: Ihsan JPJ
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 227 saman kepada pemandu kenderaan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha (HRAA) pada Rabu.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, daripada jumlah itu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans merupakan kesalahan paling banyak dikesan iaitu sebanyak 117 kes.

Menurut beliau, sebanyak 81 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya kerana tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh serta kesalahan lain seperti tiada cermin sisi serta ubahsuai kenderaan.

“Kita turut menyita 11 kenderaan berikutan kesalahan berkaitan LKM selain lima individu ditahan kerana ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Zulkarnain berkata, secara keseluruhan sebanyak 749 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi tersebut dengan 168 kenderaan diambil tindakan.

Jelas beliau, HRAA dilaksanakan di empat lokasi melibatkan 89 pegawai dan anggota dari JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Operasi ini diadakan untuk memastikan pemandu kenderaan sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang di jalan raya sekaligus mengurangkan kemalangan khususnya yang melibatkan kematian,” katanya.