Jumlah penguat kuasa ditahan kecil tak bermakna salah laku rendah

SPRM
SPRM
A
A
A

TAWAU - Jumlah anggota penguat kuasa ditahan yang kecil iaitu 11 orang sejak 2019 hingga kini tidak bermaksud salah laku rasuah dalam kalangan penguat kuasa itu rendah di negeri ini, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk S Karunanithy.

Sebaliknya, beliau berkata, jumlah kecil itu kemungkinan disebabkan kurangnya anggota masyarakat yang tampil membuat laporan mengenai rasuah dan usaha membanteras salah laku itu memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya masyarakat.

Katanya, anggota keselamatan dan penguat kuasa terutama yang bertugas di pintu sempadan negeri ini berisiko untuk terdedah kepada salah laku rasuah antaranya melibatkan kegiatan penyeludupan termasuk barang kawalan.

"Mohon masyarakat tampil menyalurkan maklumat berhubung kegiatan rasuah yang ada berlaku," katanya ketika berucap merasmikan Forum Pembudayaan Antirasuah Dalam Kalangan Penguat kuasa Bagi Membanteras Jenayah Rentas Sempadan di sini pada Khamis.

Menurutnya, SPRM juga membuat 289 tangkapan melibatkan penjawat awam persekutuan dan negeri bagi tempoh tahun 2019 sehingga kini.

Dalam pada itu katanya, forum yang diadakan ini merupakan medium mengingatkan membanteras rasuah sekali gus mengingatkan kerjasama antara agensi untuk menangani jenayah rentas sempadan.

Forum itu melibatkan penyertaan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone).

Sementara itu, Timbalan Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, jarak sempadan yang dekat antara Tawau dan Indonesia memberi peluang kepada pelaku termasuk penguat kuasa terbabit rasuah.

"Forum pada hari ini bersesuaian diadakan bagi mengingatkan kembali anggota terlibat mengenai intergriti yang perlu mereka patuhi," katanya. - Bernama