PPM rampas arak tidak bercukai

Suspek ditahan bersama minuman keras tidak bercukai di pesisir pantai Tanjung Kupang pada Rabu.
Suspek ditahan bersama minuman keras tidak bercukai di pesisir pantai Tanjung Kupang pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 327.24 liter minuman keras tidak bercukai pada Rabu.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM), Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan semasa anggotanya membuat pemantauan di kawasan pesisir pantai Tanjung Kupang pada jam 1 tengah hari.

"Anggota pasukan telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan. Setelah ditahan dan diperiksa dijumpai pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai kastam di bahagian tempat duduk belakang dan but belakang kenderaan.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan arak dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM131,728,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, tangkapan dan rampasan dibawa ke markas PPM Wilayah 2 untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967. Penyeludupan minuman keras sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

"Masyarakat diminta segera menghubungi dan berkerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu penyeludupan. Penyeludup adalah musuh negara. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di talian 07-2372221," katanya.