Pusat sehenti kuarantin di pintu masuk negara

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Pusat Sehenti Kuarantin Negara (OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan negara bagi memperkukuhkan kawalan biosekuriti.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sebagai permulaan OSQC akan diwujudkan di Pelabuhan Klang.

"Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara yang bermesyuarat minggu lalu secara dasarnya bersetuju untuk menubuhkannya," katanya.

Menurutnya, OSQC menyediakan fasiliti kuarantin dan keselamatan agromakanan yang bersepadu termasuk pemeriksaan, rawatan kuarantin, pengujian, penyelidikan, pemantauan dan pelupusan ke atas komoditi pertanian dan produk agromakanan," katanya.

"Pada masa ini, ia masih di peringkat perincian lanjut," katanya.

Beliau berkata, peralatan berteknologi tinggi, automasi, moden dan standard akan digunakan bagi membantu Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) memastikan matlamat kawalan biosekuriti tercapai.

"Pemeriksaan di OSQC ini akan menjadi lebih cepat dan details," katanya menerusi sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan operasi pengimportan dan pengeksportan produk pertanian dan haiwan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.

Ronald berkata, MAFI melalui Maqis merupakan benteng utama bagi menjaga jaminan bekalan dan keselamatan makanan khususnya keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara.

Artikel Berkaitan:

"Maqis akan terus tegas menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang negara dalam memastikan isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak atau penyakit merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung," katanya.

Ujarnya, MAFI juga sedang mendapat persetujuan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah kakitangan Maqis sebagai langkah memantapkan biosekuriti negara.

"Setakat ini kita hanya mempunyai 450 kakitangan yang ditempatkan di kesemua 57 pintu masuk negara," katanya.

KLIA Kargo merupakan salah satu daripada 57 pintu masuk produk pertanian negara dan merupakan pintu masuk utama bagi komoditi bunga segar, produk tenusu, benih ikan dan sebagainya.

Sehingga Jun 2022 kemasukan di pintu masuk KLIA Kargo adalah sebanyak 14,400 transaksi dan secara purata KLIA Kargo menerima kemasukan 13,500 tan metrik produk pertanian bernilai RM392 juta setiap bulan.