Kewangan negara stabil, hutang terkawal: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang kerajaan Persekutuan masih di tahap terkawal, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang.

"Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau merujuk kepada beberapa laporan di media sosial yang dilihat bertujuan untuk mengelirukan rakyat mengenai kedudukan kewangan dan situasi hutang negara.

Tengku Zafrul berkata, pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang-undang sedia ada, antara lainnya Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan supaya kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang berbanding perbelanjaan operasi yang lain.

Katanya, Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak boleh melebihi RM35 bilion dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 menetapkan bahawa had statutori hutang kerajaan tidak boleh melebihi 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada akhir Jun 2022, katanya, pinjaman luar pesisir berjumlah RM29.4 bilion manakala hutang statutori mencatat 60.4 peratus daripada KDNK.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan turut menjelaskan 97 peratus daripada jumlah hutang kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit, sekali gus mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah minimum.

"Paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan.

"Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus yang utuh dan kedudukan luaran yang baik serta kekukuhan ekonominya,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pihak Tabung Kewangan Antarabangsa turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus.

Baru-baru ini, katanya, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan (MoF) turut menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini.

"MoF telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” katanya. - Bernama