Polis akan rakam keterangan Tok Mat

Datuk Seri Mohamad Hasan
Datuk Seri Mohamad Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memangil Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat berhubung satu kenyataan dibuat beliau yang didakwa menyinggung penganut agama Hindu.

Kenyataan tersebut dibuat Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat dalam satu wawancara bersama sebuah portal berita antarabangsa baru-baru ini apabila rakaman audio sesi temubual tersebut tular selepas dikongsi oleh wartawan berkenaan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kertas siasatan telah dibuka pihaknya susulan laporan polis dibuat Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu Nasional, S Gobi Krishnan pada Rabu.

“Kita akan mengambil keterangan beberapa saksi lain sebelum memanggil Mohamad.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat satu laporan polis terhadap Tok Mat berhubung kenyataannya dalam sebuah wawancara bersama media anatarabangsa yang didakwa menghina penganut agama hindu.

Menurut Gobi Krishnan, kenyataan Mohamad Hassan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat yang menyifatkan kejatuhan UMNO pada pilihan raya umum (PRU) lepas berpunca daripada salah seorang pemimpin parti yang dianggap sebagai 'beban besar' dan disamakan beban itu seperti kavadi diusung masyarakat Hindu semasa perayaan Thaipusam.

Gobi Krishan berkata, pihaknya telah menuntut permohonan maaf daripada Mohamad beberapa hari lepas, bagaimanapun tidak mendapat sebarang respon.