Lebih 30,000 Keluarga Malaysia terima manfaat PRE2.0

Nancy (tengah) selepas Majlis Perasmian PRE2.0 pada Rabu.
Nancy (tengah) selepas Majlis Perasmian PRE2.0 pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia berpeluang mendapatkan e-baucar bernilai RM50 hingga RM100 menerusi tempahan bilik penginapan hotel secara dalam talian menerusi inisiatif Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE2.0) bermula 15 Julai sehingga 31 Disember ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan memaklumkan, PRE2.0 merupakan usaha menyemarakkan pelancongan domestik seiring peralihan ke fasa endemik melibatkan penyaluran insentif kepada Keluarga Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

"Antara pusat penginapan yang terlibat adalah hotel-hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) dan Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM).

"Penebusan e-baucer adalah terhad untuk tiga kali penebusan sahaja bagi setiap pemilik MyKad," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Dalam pada itu MOTAC memaklumkan, MAH dan MAHO akan menawarkan e-baucar bernilai RM100 dengan nilai pembelian minimum RM150 untuk 19,900 pembeli terawal.

MyBHA pula menawarkan e-baucer bernilai RM50 dengan pembelian minimum RM60 untuk 7,960 pembeli dan kesemua e-baucar boleh diperolehi di aplikasi Shopee.

RHSM menawarkan rebat bernilai RM50 dengan pembelian minimum RM170 (bilik standard) atau RM210 (bilik keluarga) untuk 5,970 pembeli terawal dengan tempahan boleh dibuat secara jumpa terus (walk-in), e-mel atau telefon.

Sementara itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam majlis pelancaran inisiatif berkenaan pada Rabu menjelaskan, PRE2.0 bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus membuat tempahan bilik penginapan hotel pada harga diskaun yang istimewa dan seterusnya melaksanakan aktiviti pelancongan domestik.

Katanya, kerjasama strategik yang dijalinkan oleh Tourism Malaysia bersama persatuan-persatuan terlibat disasarkan untuk merangsang kembali pemulihan industri pelancongan sekali gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan.