Ukraine putuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara

Korea Utara mengiktiraf 'kemerdekaan' wilayah yang diduduki sementara Rusia di wilayah Donetsk dan Luhansk di Ukraine.
Korea Utara mengiktiraf 'kemerdekaan' wilayah yang diduduki sementara Rusia di wilayah Donetsk dan Luhansk di Ukraine.
A
A
A

ANKARA - [DIKEMAS KINI] Ukraine pada Rabu memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara selepas negara itu mengiktiraf kemerdekaan wilayah Donetsk dan Luhansk.

"Ukraine hari ini memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara sebagai tindak balas kepada keputusannya mengiktiraf 'kemerdekaan' wilayah yang diduduki sementara Rusia di wilayah Donetsk dan Luhansk di Ukraine," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan jurucakap Kementerian Luar Ukraine, Oleg Nikolenko di Twitter.

Donetsk dan Luhansk - merupakan sebahagian daripada wilayah Donbas di timur Ukraine - telah menjadi lokasi puak pemberontak yang disokong Rusia sejak 2014, apabila Rusia menguasai semenanjung Crimea, Ukraine.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengiktiraf 'kemerdekaan' Donetsk dan Luhansk sejurus sebelum bermulanya operasi ketenteraan Moscow di Ukraine pada 24 Februari.

Seperti Crimea, Donbas kekal diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian wilayah Ukraine, dan angkatan tentera negara itu terus memperjuangkannya.

Hampir 4,900 orang awam terbunuh di Ukraine sejak krisis bermula, menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sementara itu, lebih 15 juta rakyat Ukraine terpaksa meninggalkan kediaman, dan lebih 8.4 juta penduduknya telah melarikan diri ke negara lain. - Bernama