Tiada arahan halang OBJ melawat produk pelancongan

Saarani (kiri) menyampaikan ucapan pada Program Mesra Bersama Masyarakat Kaum Sikh di Laman Seri Ridzuan, di sini, pada malam Rabu.
Saarani (kiri) menyampaikan ucapan pada Program Mesra Bersama Masyarakat Kaum Sikh di Laman Seri Ridzuan, di sini, pada malam Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak pernah memberi arahan menghalang Orang Besar Jajahan (OBJ) Perak Tengah, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan melihat secara dekat produk pelancongan warisan di Pasir Salak.

Perkara itu ditegaskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad susulan insiden Ab Wahab dihalang untuk masuk ke kawasan Rumah Datuk Maharaja Lela dan Galeri Sejarah Negeri Perak dalam lawatan ke Kompleks Sejarah Pasir Salak pada Rabu.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku itu di luar pengetahuan pihak kerajaan negeri.

"Saya tak ada maklumat tentang itu (kejadian OBJ dihalang melihat secara dekat Rumah Datuk Maharaja Lela dan Galeri Sejarah Negeri Perak). Memang tiada arahan," katanya ringkas kepada pemberita mengenai kejadian tersebut.

Saarani ditemui pemberita selepas Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) Bersama Masyarakat Kaum Sikh di Laman Seri Ridzuan, di sini, pada malam Rabu.

Ditanya mengenai beberapa bangunan di Kompleks Sejarah Pasir Salak yang masih ditutup kepada orang ramai, beliau menjelaskan perkara itu dalam perhatian kerajaan negeri.

Menurutnya, kompleks tersebut tidak lagi diselenggara sebelum ini disebabkan kos yang amat tinggi menyebabkan ia dilihat terbiar.

"Kita di peringkat kerajaan negeri, kita bersetuju untuk melihat kembali pusat-pusat pelancongan ini termasuk Kompleks Sejarah Pasir Salak. Kita kena lihat kembali bagaimana ia boleh dipulihara dengan tujuan untuk mengembalikan kegemilangan sebagai salah satu destinasi pelancongan negeri.

"Bajet untuk memulihara ini tentulah besar dan kita pun berharap dapat kerjasama dan sokongan yang baik daripada kerajaan pusat. Kita ambil kira semua itu," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menerima pandangan daripada masyarakat tempatan yang mahu supaya zaman kegemilangan kompleks tersebut dikembalikan.

Dalam pembentangan pelan Perak Sejahtera 2030 oleh Saarani pada 15 Jun lalu, Pelancongan Warisan dan Diraja merupakan antara projek berimpak tinggi yang dirangka khusus bagi daerah Perak Tengah.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Ab Wahab dihalang oleh pengawal keselamatan bertugas untuk masuk ke dalam kawasan Rumah Datuk Maharaja Lela dan Galeri Sejarah Negeri Perak di Pasir Salak.