Harimau Muda mara ke final

Pemain Malaysia meraikan jaringan Adam Farhan pada minit ke-26. - Foto: FB Vietnam Football
Pemain Malaysia meraikan jaringan Adam Farhan pada minit ke-26. - Foto: FB Vietnam Football
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SKUAD bawah 19 tahun (B-19) negara mara ke final Kejuaraan B-19 AFF 2022 apabila menumpaskan seteru tradisi, Vietnam 3-0 di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi pada Rabu.

Jaringan Adam Farhan Faizal pada minit ke-26, Haiqal Haqeemi Hairi (min-70) dan Haykal Danish Haizon (min-87), sudah cukup untuk memastikan kemenangan skuad Harimau Muda itu dan sekali gus mengulangi kemaraan ke pentas final sejak edisi 2017, 2018 dan 2019 lalu.

Aksi separuh akhir pada Rabu berlangsung sengit dengan menyaksikan kedua-dua pasukan bermula garang dengan saling mengasak ke gawang lawan masing-masing bagi membuka jaringan.

Jelas, pada 10 minit pertama Vietnam dilihat lebih banyak menguasai perlawanan menerusi beberapa percubaan berbahaya ke pintu gol skuad negara.

Bagaimanapun, benteng skuad negara dilihat mempamerkan aksi mantap dengan mengekang asakan-asakan berkenaan sambil sesekali cuba melakukan serangan balas ke pintu gol Vietnam.

Hasilnya, skuad negara berjaya memecah kebuntuan jaringan apabila Adam Farhan menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-26.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, kesebelasan Vietnam dilihat mula mengatur serangan bagi menyamakan kedudukan, namun asakan-asakan mereka gagal meepati sasaran selain mudah dikekang benteng pertahanan skuad negara hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan Vietnam semakin menggandakan asakan bagi menjaringkan gol penyamaan.

Peluang terbaik bagi Vietnam menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-55, namun percubaan jentera serangan mereka mudah dipatahkan benteng pertahanan negara selain penjaga gol negara bertindak cemerlang bagi menafikan percubaan-percubaan berkenaan.

Dalam masa sama skuad B-19 negara berjaya mengatur asakan ke pintu gol Vietnam bagi menambah jaringan dan usaha mereka berhasil apabila Haiqal Hakimi Hairi mudah menolak masuk gol kedua pada minit ke-70 dan menyaksikan skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras itu semakin selesa memimpin perlawanan.

Dua puluh minit terakhir menyaksikan Vietnam semakin hebat mengatur asakan ke gawang skuad negara namun tetap gagal menjaringkan gol penyamaan.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan 2-0, pemain gantian, Haykal Danish muncul wira skuad B-19 negara apabila tenang melepasi kawalan benteng pertahanan Vietnam sebelum merembat leret untuk gol ketiga skuad negara pada minit ke-87 bagi mengesahkan kemaraan ke final kali ini.

Pada aksi final Jumaat ini, skuad B-19 negara bakal berdepan Laos yang menewaskan Thailand pada satu lagi aksi separuh akhir.

Untuk rekod, skuad B-19 negara muncul juara Piala AFF B-19 buat kali pertama pada edisi 2018 lalu apabila menewaskan Myanmar 4-3 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo.