UKM sokong inisiatif Menu Siswa Keluarga Malaysia RM3.50

Menu makanan tengah hari iaitu nasi putih, lauk ayam atau ikan, sayur dan kuah atau sup berharga RM3.50. - Foto FB Noraini Ahmad
Menu makanan tengah hari iaitu nasi putih, lauk ayam atau ikan, sayur dan kuah atau sup berharga RM3.50. - Foto FB Noraini Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut memperkenalkan Menu Siswa Keluarga Malaysia berharga RM3.50 di semua kafeteria di ketiga-tiga kampusnya bagi meringankan beban yang ditanggung pelajar, terutama golongan B40.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, ia sebagai menyokong inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memperkenalkan Menu Siswa Keluarga Malaysia di samping usaha pihak universiti yang cakna dan prihatin dengan keadaan semasa pelajarnya.

“Kita semua faham kebelakangan ini banyak harga barang meningkat dan menyebabkan kos sara hidup juga meningkat.

“Bagi meringankan beban pelajar, UKM mengambil langkah ini untuk dinikmati oleh semua pelajar di kampus, terutamanya pelajar dari golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, pihak pengurusan UKM telah menetapkan harga RM3.50 untuk menu makanan tengah hari iaitu nasi putih, lauk ayam atau ikan, sayur dan kuah atau sup, manakala makan malam pula ialah nasi goreng dan telur mata.

Menurutnya, menu berkenaan boleh dinikmati semua pelajar UKM di semua kafeteria di dalam kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur.

"Mungkin bagi sesetengah pelajar, bantuan ini tidak seberapa tetapi kita perlu bersyukur, inisiatif KPT ini adalah tepat pada masanya.

“Pihak pengurusan universiti juga telah mengadakan perbincangan bersama pengusaha kafeteria bagi mencari kaedah terbaik penyediaan menu kepada pelajar. Terima kasih kepada semua pengusaha kafeteria kerana memberikan kerjasama yang baik dalam penetapan harga makanan Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Mohd Ekhwan berkata, bagi meringankan beban pengusaha kafeteria, pihak kafeteria diberi moratorium bayaran sewaan bulanan selama enam bulan.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Selasa meluangkan masa melawat dan makan tengah hari Menu Siswa Keluarga Malaysia bersama pelajar UKM di kafeteria Kolej Dato’ Onn pada Selasa.

Noraini meluangkan masa melawat dan makan tengah hari Menu Siswa Keluarga Malaysia bersama pelajar UKM di kafeteria Kolej Dato’ Onn, UKM pada Selasa.
Noraini meluangkan masa melawat dan makan tengah hari Menu Siswa Keluarga Malaysia bersama pelajar UKM di kafeteria Kolej Dato’ Onn, UKM pada Selasa.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia di universiti terbabit.

Dalam lawatan itu, Noraini turut bertanya pendapat dan cadangan daripada para pelajar berkenaan Menu Siswa Keluarga Malaysia tersebut.