Mara pastikan harga seragam sekolah tidak bebankan B40

A Safuan menunjukkan pakaian seragam sekolah kepada Azizah bahawa ia jenis berkualiti tinggi dan dijual dengan harga yang berpatutan sesuai untuk golongan B40.
A Safuan menunjukkan pakaian seragam sekolah kepada Azizah bahawa ia jenis berkualiti tinggi dan dijual dengan harga yang berpatutan sesuai untuk golongan B40.
A
A
A

PENAMPANG - Usahawan tekstil pakaian seragam sekolah di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) diminta sentiasa memastikan harga produk yang dihasilkan tidak membebankan pengguna, terutama keluarga dari golongan B40.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, tidak dinafikan ketika ini berlaku pelbagai peningkatan kos yang turut membebankan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

"Tetapi kita minta usahawan dapat memberi perhatian ke arah ini (harga produk) supaya ia tidak membebankan pengguna kita khususnya anak-anak dari golongan B40.

"Sudah tentu mereka mungkin akan terbeban jika dinaikkan harga (pakaian seragam sekolah). Jadi saya minta usahawan kita mengambil kira perkara ini dan memastikan harga itu tidak membebankan pengguna yang kurang berkemampuan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Outlet Canggih Go, di Kapayan, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kualiti dan harga ditawarkan bagi pengusaha pakaian seragam sekolah Canggih Go yang dilancarkannya itu.

Menurutnya, pakaian seragam sekolah yang dihasilkan berkualiti tinggi termasuk dari segi jahitannya dan berpotensi untuk diedarkan ke seluruh Sabah.

"Sudah semestinya kita mahu usahawan Mara menghasilkan produk yang berkualiti tinggi untuk memenuhi kehendak pelanggan dan dalam masa sama kita dapat membangunkan usahawan yang betul-betul berkualiti.

"Setakat ini Sabah adalah negeri ketujuh pengedar Canggih Go dan kita berharap ada usahawan lain sebagai ejen untuk diperluas ke seluruh daerah di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Canggih Bayu Sdn Bhd, A Safuan Abas berkata, pihaknya sentiasa cuba mendapatkan harga yang lebih sesuai dengan keadaan ekonomi dan logistik semasa.

"Kami cuba selaraskan harga pakaian seragam sekolah ini dengan harga Semenanjung dan Sabah. Baju kami tawarkan antara RM25 kepada RM35 bergantung kepada saiz.

"Kami juga menawarkan pakaian korporat, beg, kasut dan juga beberapa barangan jenis tekstil untuk pelanggan," jelasnya.