Beli ayam, telur dengan harga murah di jualan MyGrocer@Wilayah

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim - Foto Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga Wilayah Persekutuan berpeluang berbelanja barangan keperluan asas termasuk ayam dan telur ayam pada harga lebih rendah daripada harga siling ditetapkan melalui Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah yang berlangsung selama enam bulan bermula esok (Khamis).

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, program yang menawarkan barangan asas lain seperti ikan, sayur-sayuran dan makanan kering itu akan dilaksana di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara, bermula esok di PA Sri Johor di sini, melibatkan peruntukan berjumlah RM3.48 juta.

Sementara di Labuan, jualan akan dilaksana di beberapa kedai terpilih, katanya.

"Setiap penerima manfaat mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia. Mereka akan dapat menikmati pembelian seekor ayam dengan kadar subsidi sebanyak RM3 seekor serta dapat berjimat RM0.50 sen apabila membeli 10 biji telur ayam Gred B.

"Melalui program ini, setiap isi rumah dapat menjimatkan kos perbelanjaan barangan dapur sehingga 14.29 peratus bagi setiap pembelian satu ekor ayam dan 10 biji telur,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Shahidan berkata kira-kira 147,000 penduduk di 61 PPR dan PA di Kuala Lumpur serta 19,000 penduduk dari kumpulan B40 di Labuan bakal menerima manfaat menerusi program tersebut.

Di Kuala Lumpur, katanya jualan masih berkonsepkan MyGrocer@Wilayah iaitu penjualan barangan keperluan asas dan makanan kering secara terus daripada pembekal ke kawasan perumahan, manakala di Labuan, Program Jualan Rakyat itu akan dilaksana melalui peruncit yang dikenal pasti Perbadanan Labuan.

Beliau berkata inisiatif itu juga merupakan antara usaha kerajaan dan kementerian dalam membantu meringankan beban ekonomi Keluarga Malaysia serta mengurangkan kesan inflasi.

"Semoga pelaksanaan program ini dapat meringankan beban kos sara hidup terutamanya dalam kalangan B40 di Wilayah Persekutuan,” katanya. - Bernama