Keputusan Ketua Cabang Ampang cetus isu sebab umum awal

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang mencetuskan isu dari segi keputusan disebabkan ada pihak sama ada media atau calon yang mengumumkan kemenangan awal terlebih dahulu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil turut mengesahkan kemenangan penyanyi rap, Altimet sebagai Ketua Cabang PKR Ampang sambil menyatakan ia adalah keputusan rasmi.

"Keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 6 Julai yang lalu bahawa setelah semua undian diaudit, maka Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan umumkan keputusan rasmi. Apa yang ditayangkan pada laman web JPP itu sekarang, adalah keputusan rasmi. Tidak ada perubahan pada keputusan.

"Isu yang timbul ialah apabila proses itu mungkin ada yang terlajak, terumum awal dan sebagainya sebelum MPP mendapat syor daripada JPP dan penjelasan penuh daripada auditor forensik.

"Jadi, setelah diputuskan oleh MPP, maka keputusan rasmi ialah yang telah diumum oleh JPP," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Keputusan asal pemilihan PKR Ampang berpihak kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang mendapat 942 undian menewaskan Datuk Hans Isaac yang mendapat 609 undi sementara Altimet mendapat 589 undi.

Bagaimanapun, pemilihan diadakan semula pada 29 Jun dan berdasarkan kiraan tidak rasmi, Hans Isaac mendahului dengan 748 undi, manakala Altimet mendapat 746 undi.

Altimet kemudian sah menjadi Ketua Cabang PKR Ampang yang baharu apabila berjaya memperoleh 743 undi, manakala Hans Isaac 734 undi.

Mengulas lanjut, Fahmi yang tewas dalam pertandingan jawatan Naib Presiden PKR turut mengingatkan anggota parti itu supaya sentiasa mengikut saluran parti.

"Saya yang bertanding tetapi kalah tetap terima keputusan JPP. Kerana setelah saya mendengar proses, cara audit itu dibuat, saya ada keyakinan dan saya terima kekalahan saya. Biar kalah tetapi tetap bermaruah," tegasnya.