Logo PN, warna baharu elak kekeliruan dengan BN: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A
KOTA BHARU - Cadangan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan logo dan warna baharu gabungan parti itu untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bertujuan mengelak kekeliruan penyokongnya dengan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara tersebut telah dibincangkan pimpinan tertinggi gabungan itu, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, apabila mendapati ada sebahagian penyokong mereka keliru antara warna PN dan BN.

"Disebabkan perkara itu, pimpinan PN akan mengkaji keperluan (menukar) warna yang berbeza dengan BN serta parti-parti lain untuk PRU akan datang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Rakyat Aidiladha Parlimen Kubang Kerian di Pasir Tumboh di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai cadangan PN untuk memperkenalkan logo baharu pada PRU15.

Katanya, parti itu mengambil serius mengenai cadangan pengenalan logo dan warna baharu PN, namun keputusan tertakluk kepada kepimpinan parti nanti.

"Pas ini pengalaman banyak, dahulu kita juga pernah guna lambang BN, dulu kita ada pelbagai logo seperti lambang bulan dan bintang serta tangan, bagi ahli parti ia tiada masalah kerana sentiasa mendukung keputusan parti,” katanya. - Bernama