13 kertas siasatan dibuka, kerugian cecah RM3.95 juta

Lebih 300 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, Sepang pada Khamis disyaki menjadi mangsa penipuan syarikat pelancongan.
Lebih 300 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, Sepang pada Khamis disyaki menjadi mangsa penipuan syarikat pelancongan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka di seluruh negara berhubung penipuan pakej menunaikan ibadah haji melibatkan sekitar 380 bakal jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, jumlah kerugian terkumpul setakat ini dianggarkan berjumlah RM3.95 juta melibatkan 72 laporan yang diterima daripada mangsa dan keluarga.

"Jumlah laporan tertinggi diterima di Kuala Lumpur sebanyak 24 kes melibatkan nilai kerugian berjumlah RM1.24 juta.

"Sebanyak 14 laporan di Selangor, Pahang 13, Kelantan, Johor, dan Perak masing-masing lima laporan, manakala satu laporan diterima di Terengganu, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jumaat lalu Sinar Harian melaporkan sebanyak 17 laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA yang dibuat oleh mangsa dan keluarga mangsa bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Laporan polis dibuat susulan sekitar 380 bakal jemaah haji yang sepatutnya berlepas ke tanah suci Makkah terkandas di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Susulan itu, seramai lima suspek termasuk sepasang suami isteri dipercayai pemilik syarikat pelancongan berkenaan ditahan Jumaat lepas dan direman sehingga Selasa.

Polis Selangor dilaporkan berkata, reman terhadap kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun itu disambung sehari sehingga Rabu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.