Lelaki disamun suspek bersenjatakan pisau

Tangkap layar rakaman audio lelaki mendakwa disamun dua suspek bersenjatakan pisau.
Tangkap layar rakaman audio lelaki mendakwa disamun dua suspek bersenjatakan pisau.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki kerugian kira-kira RM1,500 selepas disamun dua lelaki bersenjatakan pisau ketika berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Perak, arah selatan di sini pada Isnin.

Tular beberapa rakaman audio di aplikasi WhatsApp mendakwa mangsa sedang menuju ke tandas sambil mendukung anaknya sebelum didatangi salah seorang suspek.

Menurut mangsa, anaknya diacu pisau menyebabkan dia terpaksa menyerahkan beg sandang yang mengandungi dokumen peribadi dan wang.

Dakwanya, suspek menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan dan siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.45 malam.

"Mangsa berusia 32 tahun dihampiri dua suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh ketika berada di kawasan parkir

"Tiada kecederaan dilaporkan namun mangsa mengalami kerugian wang tunai dan telefon bimbit," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurutnya, usaha mengesan kedua-dua suspek dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.