Kes jangkitan saluran pernafasan di Johor meningkat

Ling Tian Soon
Ling Tian Soon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 1,319 jangkitan saluran pernafasan di negeri ini dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-27/2022, iaitu peningkatan sebanyak 2.3 kali ganda berbanding 574 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, bilangan kluster wabak berkenaan yang dilaporkan juga menunjukkan peningkatan, iaitu sebanyak 15 kluster bagi tempoh ME 27/2022 berbanding lapan kluster bagi tempoh sama tahun lepas.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ingin memaklumkan bahawa kebelakangan ini terdapat peningkatan tren bagi kes dan wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI) di Negeri Johor.

"Kebanyakan kluster yang dilaporkan melibatkan institusi pendidikan iaitu sebanyak 80 peratus," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di negara ini sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.

Jelasnya, pemantauan yang dijalankan JKNJ terhadap jangkitan ILI dan URTI, mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan.

JKNJ menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan iaitu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi tangan.

"Amalkan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau pelitup muka.

"Amalkan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau penutup mulut dan hidung.

"Jarakkan diri dari individu yang bergejala, sekurang-kurangnya satu meter dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala selain digalakkan mendapatkan pelalian vaksinasi influenza di fasiliti kesihatan swasta," katanya.

Beliau berkata, JKNJ akan terus memantau situasi dan trend kejadian ILI dan URTI di negeri ini serta bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya.