[VIDEO] Ismail Sabri perlu buktikan dirinya berbeza daripada Najib, Zahid

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUBANG PASU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membuktikan bahawa beliau berbeza dari Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam soal integriti dengan menunaikan segera janji pernah dimeterai bersama pihak lain termasuk berhubung isu pelantikan Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ismail Sabri dikenali sebagai seorang pemimpin yang dikenali bersih dan memiliki integriti, yang mana sama sekali berbeza dengan dua pemimpin itu, sekali gus perkara itu perlu dibuktikan kepada semua pihak.

Beliau berpandangan, disebabkan itu, tidak timbul persoalan kononnya Bersatu menuntut jawatan terbabit pada waktu tidak bersesuaian disebabkan ada persoalan lebih besar iaitu mengapa perjanjian itu tidak dilaksanakan setelah sekian lama dimeterai yang sepatutnya ditanya.

"Jadi, Ismail Sabri kena buktikan yang beliau adalah pemimpin UMNO berbeza daripada Ahmad Zahid serta Najib. Jangan nanti, beliau dikategorikan sama acuannya dengan dua pemimpin itu.

"Di sebelah Perikatan Nasional (PN), kita sudah laksanakan apa dijanjikan dalam dokumen tersebut, tetapi di satu pihak lain, Ismail perlu beri justifikasi mengapa perkara dijanjikan itu tidak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan ibadah korban bersama penduduk Kampung Machang, dekat sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan terdapat beberapa perkara lain termaktub dalam perjanjian tersebut yang diketahui kedua-dua pihak menandatangani perjanjian, selain daripada isu jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau menjelaskan beberapa situasi berlaku apabila jawatan-jawatan dipegang pemimpin daripada PN yang tamat dan ditamatkan tidak digantikan dengan orang daripada PN tetapi digantikan UMNO selepas perjanjian ditandatangani.

Wan Saiful berkata, sebagai contohnya, ada beberapa anak syarikat di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) apabila kontrak individu terlibat ditamatkan dan diganti dengan pemimpin daripada UMNO walaupun tarikh kontrak individu belum luput, yang mana ia jelas melanggar perjanjian tersebut.

Ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa tidak wujud perjanjian berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, Wan Saiful tertanya-tanya dengan tindakan Abdul Hadi.

"Sebagai satu keluarga, mungkin elok kita rujuk kepada pihak 'dalaman' dulu sebelum buat kenyataan yang mungkin boleh timbulkan salah faham,”katanya.

Bagaimanapun, Wan Saiful melahirkan rasa syukur apabila penjelasan telah dilakukan bahawa Pas turut terlibat dalam perjanjian terbabit.