Isu air Pulau Pinang: Kerajaan Persekutuan perlu campur tangan

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan segera untuk mengurangkan risiko kejadian bekalan air melibatkan Sungai Muda yang akan menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, lebih 80 peratus air mentah yang diabstrak setiap hari oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) datangnya dari Sungai Muda.

Beliau berkata, sebarang kejadian yang melibatkan Sungai Muda akan menjejaskan perkhidmatan bekalan air kira-kira 80 peratus daripada penduduk dan perniagaan yang berpusat di Pulau Pinang.

“Kesan banjir kilat di Baling, Kedah baru-baru ini, telah membuktikan bahawa perkara ini adalah fakta. Pada 6 Julai lalu air banjir menyebabkan kekeruhan air mentah dari Sungai Muda tiba-tiba meningkat.

"Kekeruhan air Sungai Muda terlalu tinggi sehingga memaksa PBAPP menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan penutupan LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang menjejaskan perkhidmatan bekalan air di sini selama enam hari," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Selasa.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, untuk meminimumkan risiko berulang, pihaknya menyeru kerajaan Persekutuan agar menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (UMBA) untuk memulihara, mengurus dan melindungi seluruh lembangan sungai Sungai Muda sebagai aset air Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Beliau berkata, sekiranya kerajaan Persekutuan serius untuk membangunkan NCER dengan betul, ia harus memberi tumpuan kepada mendapatkan sumber air terlebih dahulu.

Selain itu, Kon Yeow berkata, pihak berkenaan perlu menghentikan pembalakan di Ulu Muda untuk mengurangkan risiko lebih banyak banjir kilat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, menebang hutan hujan juga akan menjejaskan prestasi Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terpenting NCER.

"Kerajaan Persekutuan juga perlu halang Kedah daripada melaksanakan projek lapangan terbang Kulim dan cadangan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di lembangan sungai Sungai Muda.

"Risiko pencemaran air, kontaminasi air dan pemendapan sungai tidak boleh diterima.

"Selain itu, projek lapangan terbang Kulim juga akan membuang berjuta-juta liter kumbahan ke anak sungai Sungai Muda setiap hari," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan penyiapan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP).

Jelasnya, pemulihan operasi pengeluaran air di LRA Sungai Dua dan pemulihan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang telah tertangguh kerana PBAPP hanya boleh melepaskan 300 juta liter air terawat sehari dari Empangan Mengkuang dalam senario kecemasan.

Katanya, fasa 2B MDEP mesti disegerakan untuk meningkatkan kapasiti pelepasan kepada 600 juta liter air terawat sehari.

Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Kayanya, Sungai Muda telah menjadi sumber air mentah utama Pulau Pinang sejak tahun 1973 dan Pulau Pinang sangat memerlukan sumber air mentah kedua.

"Kerajaan neeri Pulau Pinang dan PBAPP telah membuat cadangan pelaksanaan SPRWTS sejak 2011.

"Sehingga hari ini, kerajaan Persekutuan menegaskan kerajaan Pulau Pinang perlu berunding terus dengan kerajaan Perak.

"Kita telah menghadiri beberapa sesi rundingan langsung tetapi tidak berjaya," katanya.