Gunung Inas: Kelulusan ladang hutan era BN, tebang balak 2018

Tragedi banjir dan kepala air di Baling mengorbankan tiga nyawa dan memusnahkan 15 buah rumah pada Isnin lalu.
Tragedi banjir dan kepala air di Baling mengorbankan tiga nyawa dan memusnahkan 15 buah rumah pada Isnin lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kelulusan ladang hutan untuk tanaman getah jenis timber latex clon (TLC) di Gunung Inas dilakukan pada era pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada 2007, bukannya oleh kerajaan Pas pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kawasan yang ditanam durian musang king terbabit dipercayai dilakukan penebangan balak antara tahun 2018 dan 2019.

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi

Namun, beliau mendakwa konsep ladang rakyat yang diperkenalkan oleh Azizan digagalkan oleh Menteri Besar selepas itu, iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas kerajaan negeri bertukar tangan pada 2013.

“Ustaz Azizan meneruskan apa yang diluluskan oleh menteri besar sebelum itu cuma bertukar konsep kepada ladang rakyat.

"Tender dikeluarkan untuk kayu balak dan buat kali pertama dalam sejarah, kita peroleh nilai RM11,000 hingga RM17,000 sehektar.

"Apa yang berlaku selepas itu, ladang rakyat dibatalkan di tangan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua kali) dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (2016), sama seperti Mukhriz batalkan projek Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba supaya Pas tidak berkembang di Langkawi,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Muhammad Sanusi turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ladang rakyat adalah projek gagal kerajaan Pas ketika bawah pentadbiran Azizan (2008 hingga 2013) susulan projek tersebut tidak diteruskan oleh Mukhriz.

“Projek itu bukan gagal, tetapi digagalkan oleh Mukhriz sebab bimbang ladang rakyat akan harumkan nama Azizan kalangan orang miskin.

"Sempatlah tanam getah TLC seluas 162 hektar saja untuk fasa pertama dengan berkonsepkan ladang rakyat, membabitkan 300 peserta rakyat miskin sebelum kerajaan bertukar pada 2013,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi tegaskan, ketika zaman pemerintahan Azizan, tidak berbangkit sebarang isu mengenai ladang rakyat, malah ketika itu musang king pun masih tidak dikenali ramai.

“Tender balak dibuat antara 2010 hingga 2013, tebangan belum berlaku lagi.

"Kalau betul mereka tak setuju sebab mahu selamatkan alam sekitar dan Gunung Inas, mereka boleh batalkan tender dan ladang hutan TLC, bukan batalkan ladang rakyat dan tanam musang king,” ujarnya.

Menurutnya lagi, bagaimanapun semakan perlu dilakukan dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) berhubung tarikh sebenar tender dan tebangan berlaku.

“Asalnya kawasan itu projek usahasama dengan Kedah Agro untuk ladang hutan, dengan unjuran bayaran RM20 juta kepada kerajaan negeri selepas membalak dan bangunkan ladang hutan.

“Ustaz Azizan tidak setuju menyebabkan ia ditender dan dapat sekitar RM80 juta. Kawasan ladang hutan asal tidak termasuk Kompartment Lapan yang menjadi punca air Sungai Kupang.

"Komparment empat, lima dan enam saja kalau tak silap saya, perlu semak JPNK dahulu," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mukhriz menafikan dakwaan kerajaan Kedah pimpinannya sebelum ini mempunyai kaitan dengan projek ladang durian musang king di Gunung Inas, yang dikaitkan antara punca tragedi banjir dan kepala air di Baling, yang mengorbankan tiga nyawa dan memusnahkan 15 buah rumah pada Isnin lalu.

Mukhriz menerajui Kedah sebagai Menteri Besar bermula Mei 2013 hingga Februari 2016 di bawah era Barisan Nasional (BN) manakala antara Mei 2018 hingga Mei 2020 bawah era Pakatan Harapan (PH) menegaskan, projek ladang sejahtera di Kedah tidak dilaksanakan dengan baik kerana penanaman semula kayu getah, pokok untuk pembalakan komersial atau musang king tidak dilakukan seperti dicadangkan pada awalnya.

Mukhiz mendakwa kerajaan negeri berikutnya yang memulakan kerja-kerja penanaman semula di Kedah, selain berkata bukan penanaman semula yang menyebabkan hakisan tanah dan punca banjir walaupun teres tanaman menyumbang kepada hakisan, sebaliknya penebangan menjadi punca air hujan mengalir terus atas tanah yang terdedah hingga ke dalam sungai.