Surau guna kaedah kutu korban, bantu kurang berkemampuan

Ahmad Jamel
Ahmad Jamel
A
A
A

IPOH - Pengumpulan wang menerusi sistem kutu yang digerakkan jawatankuasa Surau Nurul Huda di Taman Tasek Putra dekat Tronoh di sini telah memberi ruang lebih ramai golongan kurang berkemampuan menyertai ibadah korban.

Pengerusi surau, Ahmad Jamel Mohd Zain berkata, inisiatif yang digerakkan sejak 2020 itu mendapat sambutan menggalakkan saban tahun hingga mencecah 42 orang pada ibadah korban tahun ini berbanding 28 peserta pada awal dahulu.

Menurutnya, kaedah kutipan yang diperkenalkan itu hanya mengenakan kadar minimum RM70 dan dilakukan secara bulanan selama 10 bulan bagi membantu peserta melaksanakan korban tanpa rasa terbeban.

"Kita lakukan kaedah ini kerana mengambil kira kariah-kariah surau yang kebanyakannya adalah kalangan penyewa, mereka tidak mempunyai kecukupan untuk melakukan ibadah korban.

"Menyimpan sendiri mungkin tidak selamat kerana takut digunakan bagi tujuan lain pula kerana itu kita gunakan kaedah lebih sistematik.

"Ahamdulillah dengan cara ini ada kalangan kariah kita terdiri pemandu lori, peniaga tepi jalan dan pekerja kilang yang selama ini tertangguh kerana kekangan wang dapat ikut serta melakukan ibadah korban," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, tahun ini, surau berkenaan dapat menyediakan enam kerbau berjumlah RM29,400 yang diperolehi hasil pungutan bulanan daripada 42 peserta serta seekor lembu sumbangan Penghulu Tronoh bagi menjayakan ibadah korban.

Katanya, jumlah itu adalah tertinggi setakat ini sejak surau didirikan pada 1998 dan ibadah korban berkenaan akan dilaksanakan secara gotong-royong bersama komuniti setempat pada Ahad.

"Niat kita untuk bantu memudahkan memandangkan ibadah korban itu adalah sunat muakad iaitu sunat yang sangat dituntut.

"Diberitakan, Nabi Muhamamd SAW tidak pernah ketinggalan dalam melaksanakan ibadah korban pada setiap tahun walaupun hanya seekor kambing," katanya.