10 lembu korban istimewa untuk 500 keluarga asnaf

Lembu-lembu yang akan dikorbankan pada Program Ibadah Korban Perdana Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) sempena Aidiladha tahun ini.
Lembu-lembu yang akan dikorbankan pada Program Ibadah Korban Perdana Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) sempena Aidiladha tahun ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal meneruskan legasi arwah suami dalam kerja-kerja kebajikan menerusi pelaksanaan Program Ibadah Korban Perdana membabitkan sebanyak 10 ekor lembu khas untuk 500 keluarga asnaf sempena perayaan Aidiladha tahun ini.

Wanita tersebut, Zurawati Zulkifli, 44, berkata, lembu-lembu korban itu disumbangkan kepada Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) oleh 52 penderma dari serata negeri Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor.

Gambar kenangan Zurawati Zulkifli, 44, (dua dari kiri) bersama Allahyarham suaminya juga Pengasas KKAK, Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni, 44, (tiga dari kiri) pada acara korban tahun lalu.
Gambar kenangan Zurawati Zulkifli, 44, (dua dari kiri) bersama Allahyarham suaminya juga Pengasas KKAK, Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni, 44, (tiga dari kiri) pada acara korban tahun lalu.

Katanya yang juga Pengerusi KKAK, korban kali ini memasuki tahun kelapan penganjuran kelab tersebut manakala buat pertama kali selepas suaminya juga Pengasas KKAK, Allahyarham Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni, 44, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 15 April lalu.

“Tahun-tahun lalu, ada arwah yang dapat menguruskan ibadah korban bersama-sama dan dahulu jumlah lembu korban setiap tahun mencecah sehingga 15 ekor.

“Tahun ini, hanya 10 ekor lembu korban sahaja kerana saya mengurusnya berseorangan tanpa arwah, namun saya tetap gembira untuk melaksanakan korban pada Hari Raya Aidiladha yang kedua nanti dan mengagihkan daging kepada 400 keluarga asnaf yang berdaftar dengan kelab ini dan 100 lagi asnaf lain,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, pada waktu sama, dia turut melaksanakan korban sebahagian lembu yang bernilai RM750 terbabit dan berniat untuk menghadiahkan pahala kepada Allahyarham.

“Sejak arwah meninggal dunia, saya memikul amanah Allahyarham dalam menguruskan kelab yang terdiri daripada ahli sejumlah 400 keluarga asnaf termasuk program berbuka puasa sepanjang Ramadan lalu.

“Pada Aidiladha yang kedua nanti juga akan diadakan jamuan makan berlaukkan tiga ekor lembu melalui gotong-royong memasak bersama tiga penyembelih dan 60 sukarelawan daripada KKAK kepada lebih 1,000 tetamu termasuk asnaf dan para jemputan yang hadir,” katanya.

Ujarnya, jumlah 10 ekor lembu tersebut dijangka meningkat kepada 15 ekor hasil sumbangan orang ramai pada waktu terakhir menjelang Aidiladha nanti.

“Mereka yang melaksanakan korban ini terdiri daripada pelbagai golongan dan ada yang pertama kali korban serta ada yang niat menghadiahkan pahala korban untuk ibu bapa mereka yang sudah meninggal dunia,” katanya.